Mudah saja resepi puding koktail ini. Bukan saja rupanya yang cantik, malah teksturnya juga lembut dan kurang manis. Sesuai untuk mereka yang bukan penggemar dessert yang manis-manis.
Biasanya, puding dijadikan menu pencuci mulut selepas makan ‘berat’ untuk menyejukkan tekak. Lagi-lagi jika dimakan selepas baru dikeluarkan dari peti ais, memang best sangat-sangat!
Ada banyak resipi puding yang boleh anda buat. Tapi kali ini jom kita cuba resipi puding koktail yang dikongsikan oleh Mufidah Abdul Hadi Alyunusi. Selamat mencuba!
Baca juga: Nampak Macam Kuih Lapis, Sebenarnya Resipi Puding Biskut. Guna 3 Bahan Saja!
RESEPI PUDING KOKTAIL CANTIK & SEDAP
Bahan-bahan:
- 18 g agar-agar bertali – direndam ½ jam dan kemudian ditoskan
- 4 cawan (1 liter) air (atau air pandan)
- 2 cawan (500 ml) susu cair
- 1 cawan gula (boleh kurangkan)
- 1 sudu teh serbuk koko
- Sedikit pewarna hijau
- Sedikit pes pandan (optional – tak nak guna pun tak apa)
- Lebih kurang 1 cawan buah-buahan koktel dalam tin – ditoskan sirapnya
- Esen vanila (jika tidak menggunakan air atau esen pandan)
Cara-cara:
1. Satukan air (atau air pandan) serta agar-agar dan masak sehingga agar-agar larut. Masukkan susu cair, gula dan esen vanila (jika suka). Masak atas api sederhana sambil dikacau sehingga mendidih. Angkat.
2. Tapis adunan tadi dan asingkan lebih kurang 1 – 1 1/4 cawan adunan. Campurkan serbuk koko ke dalam adunan yang masih panas dan kacau hingga larut. Jika sukar larut, masak sebentar sambil dikacau hingga koko larut. Ketepikan.
3. Asingkan pula 2 ½ cawan adunan dan ketepikan. (Biarkan adunan ini berwarna putih)
4. Baki adunan di dalam periuk dicampur dengan pes pandan (jika suka) dan pewarna hijau. Kacau hingga sebati.
5. Tuang ½ dari adunan berwarna hijau ke dalam acuan berukuran 7 inci. Ketepikan hingga mengeras.
6. Bila adunan hijau telah mengeras, tuangkan pula ½ adunan coklat di atasnya. Ketepikan lagi hingga mengeras.
7. Bila adunan kedua telah mengeras, tuangkan kesemua adunan putih di atasnya (kalau adunan putih sudah sejuk atau mengeras, panaskan dulu sehingga cair semula baru dituangkan atas lapisan kedua).
8. Taburkan buah-buahan koktel ke dalam adunan putih. Jika ada potongan buah yang agak besar, potong dahulu kepada saiz yang lebih kecil. Ketepikan hingga mengeras.
9. Panaskan baki adunan koko dan tuangkan ke atas adunan putih yang telah keras tadi. Bila lapisan keempat ini telah mengeras, panaskan baki adunan hijau dan tuang ke atasnya.
10. Sejukkan dahulu sebelum dipotong. Selamat mencuba!
Tips: Untuk mendapatkan lapisan yang lekat elok antara satu sama lain, sebelum curahkan lapisan yang baru panaskan dulu adunan tersebut. Kemudian baru curahkan.
Kredit: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
Baca juga: Sedapnya Puding Laici 1 Layer, Resipi Dulu-Dulu Imbau Zaman 90an