Pernah makan dumpling ayam homemade? Dumpling merupakan antara makanan tradisi masyarakat Cina yang sangat terkenal. Terdapat pelbagai jenis dumpling, antaranya adalah dumpling daging, dumpling ayam, dumpling kambing dan sebagainya. Dumpling ini juga berintikan dengan sayur-sayuran dan juga isi daging.
Kalau makan di kedai, harganya boleh tahan mahal juga untuk beberapa biji dumpling. Kalau nak makan puas-puas, anda boleh cuba buat sendiri di rumah dengan menggunakan resipi perkongsian oleh Puan Zurina Zulkefli di bawah. Sangat berbaloi buat sendiri sebab boleh dapat banyak! Jom cuba.
Baca juga: Cara Buat Kentang Goreng Homemade Untuk Anak, Lagi Sihat & Selamat Tanpa Bahan Pengawet
CARA BUAT DUMPLING AYAM HOMEMADE
Bahan-bahan yang perlu disediakan:
- 5 ketul isi ayam & seketul isi daging lembu (cincang lumat, boleh guna mesin pengisar)
- Lobak merah (cincang halus, nak elak kulit dumpling terkoyak)
- Bawang merah cincang
- Daun bawang
- Sebiji telur
- Dua sudu besar tepung jagung
- Serbuk lada sulah dan lada hitam (saya guna jenama Ajishio yang dah sedia ada rasa masin, kuantiti agak-agak mengikut citarasa)
Cara-cara penyediaannya:
1. Satukan kesemua bahan dalam mangkuk yang besar.
2. Gaul semua bahan sehingga sebati. Pastikan inti dunpling tidak berair ya sebab kita tak nak kulit dumpling nanti basah dan bocor.
3. Sebelum gunakan kulit dumpling segera. Saya sarankan tabur tepung gandum di atas atas. Tujuannya untuk meletakkan kulit dumpling dan dumpling yang telah siap.
4. Ini dia kulit dumpling segera yang dapatkan di pasaraya terdekat.
5. Keluarkan kepingan kulit dumpling satu persatu dan letak di atas taburan tepung tadi. Ambil setiap satu dan isikan inti dengan lembut. Tak boleh kasar sebab kulit dumpling segera ni mudah terkoyak.
6. Tutup inti dan lipat satu persatu. Tekniknya, picit di bahagian tengah kemudian tolak lipatan pertama ke arah tengah. (Boleh tengok tutorial di Youtube untuk lebih jelas)
7. Bila dah siap lipat, terus letak di atas dulang ya kemudian simpan dalam peti sejuk. Tak boleh biar lama-lama macam ni, nanti dumpling lembik.
7. Macam ni ha, terus simpan dalam peti sejuk. Nak berbuka nanti, kukuskan je.
Cara saya masak dumpling:
1. Panaskan sesudu besar minyak masak. Kemudian gorengkan dumpling, tak perlu golek-golekkan ya. Biar je dia tegak macam tu. Kemudian masukkan air dan tutup kuali. Kita biarkan dumpling masak dengan proses pengewapan. Tunggu sampai air dah kering, kita isi lagi air dan tutup periuk. Kiranya dua kali proses pengewapan.
2. Biarkan sehingga air kering dan siap untuk dimakan.
3. Rangup pada bahagian bawah.
4. Berjus pada bahagian dalam inti. Kebiasaan saya makan dumpling ni dengan kicap cair.
Selamat mencuba ya!
Kredit: Zurina Zulkefli