Setiap hari makan nasi saja, sekali-sekala kenalah cuba resepi Mee Hailam simple. Jika dapat hirup kuahnya panas-panas, memang sungguh nikmat.
Mee Hailam ialah hidangan mi telur yang digoreng dengan daging atau makanan laut dan sayur-sayuran yang banyak, bermandikan kuah dengan kicap pekat dan limau kasturi.
Kebetulan hari ini nak sediakan hidangan selain nasi, jadi memang tepat waktunya untuk buat resepi Mee Hailam simple yang dikongsikan oleh Aida A Ibrahim di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Mee Jawa Dengan Kuah Paling Sempoi, Buat Banyak Kali Pun Tak Jemu
RESEPI MEE HAILAM SIMPLE
Bahan-bahan:
- 1 bungkus mee
- 3″x3″ daging (hiris halus)
- ½ labu bawang putih (tumbuk)
- 2 sudu cili boh (jika cili kering jenis pedas, letak sikit saja)
- Kicap pekat
- Kicap manis
- Sos tiram
- 3 biji telur
- 2 sudu tepung jagung (bancuh dengan air)
- Sayur (sawi, tomato, lobak merah)
- Air secukupnya
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, rebus daging sekejap sehingga air rebusan tinggal separuh.
2. Dalam kuali lain, masukkan minyak, tumis bawang putih. Setelah naik bau, masukkan cili boh dan tumis sampai pecah minyak.
3. Selepas itu, masukkan daging dan gaul sebati. Kemudian, masukkan kicap pekat, kicap manis, sos tiram dan lobak merah. Gaul rata.
4. Seterusnya, masukkan air dan tunggu sehingga menggelegak. Kemudian, baru pecahkan telur (jangan kacau sangat, nanti telur hancur dan kuah jadi tak cantik).
5. Apabila telur sudah masak, masukkan mee, sayur sawi dan tomato. Gaul rata.
6. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit ikut kepekatan yang disukai. Sementara itu, bolehlah rasa. Jika tak cukup masin, tambahkan garam. Siap untuk dihidang!
Walaupun resepi Mee Hailam simple ini nampak mudah, namun anda takkan menyesal setelah menghirup kuahnya yang sungguh lazat tak terhingga.
Mee Hailam sangat sedap dimakan sementara masih panas. Lebih-lebih lagi ketika waktu hujan, semestinya tekak teringin hidangan berkuah yang sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Aida A Ibrahim
Baca juga: Resipi Mee Sanggul Tumis Ayam Simple, Kuah Sedap Dan Menyerap Elok!