Sarapan pagi sangat penting untuk beri tenaga memulakan kerja atau aktiviti anda sepanjang hari. Makan Roti Garlic dan Sup Cendawan pun sudah memadai.
Roti Garlic atau roti bawang putih merupakan resepi top yang paling diminati ramai. Biasanya ia dimakan bersama Sup Cendawan yang hangat.
Peminat roti mesti tahu keenakan Roti Garlic apabila dicicah dengan Sup Cendawan. Ia selalu disajikan sebagai pelengkap di restoran Italia.
Resipi Roti Garlic dan Sup Cendawan yang dikongsikan oleh Nurul Balqis ini nampak sedap dan mudah untuk anda jadikan sebagai sarapan. Jom cuba!
Baca juga: Sup Cendawan Berkrim, Sedap Dimakan Bersama Garlic Bread Untuk Juadah Sahur
RESIPI ROTI GARLIC DAN SUP CENDAWAN
Bahan-bahan:
- Sup cendawan campbell
- Susu krimer sejat
- Bawang putih
- Butter atau marjerin
- Daun parsley yang kering
- Roti baguette perancis
Bahan untuk sapu pada roti:
- Butter
- Bawang putih (hiris sehalusnya)
- Daun parsley
Cara-cara:
1. Gaul rata bahan untuk sapu pada roti seperti di dalam gambar. Jika ada lebih, boleh simpan dalam peti sejuk untuk digunakan lain kali.
2. Potong roti perancis secara menyerong, kemudian sapu campuran bawang putih, butter, dan daun parsley tadi pada satu bahagian saja.
3. Goreng tanpa minyak sampai garing dan pastikan jangan hangus.
4. Bagi membuat sup cendawan, hanya gunakan soup campbell yang cendawan, susu cair dan daun parsley sahaja. Lebih sedap jika letak isi ayam dan kiub pati.
Tanpa menggunakan banyak bahan dengan langkah kerja yang sangat mudah untuk menyediakannya, anda telah berjaya hasilkan satu hidangan yang lengkap dan lazat.
Bau bawang putih dengan daun parsley yang wangi dan kuat, digabungkan pula dengan Sup Cendawan pekat berkrim memang bakal buat sesiapa pun terpikat.
Bukan setakat sarapan, malah anda boleh jadikan Roti Garlic dan Sup Cendawan ini sebagai kudapan pada waktu petang.
Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Balqis
Baca juga: Resipi Cheesy Garlic Bread ‘Sedap Gila’, Buat Tiap Hari Pun Takkan Puas