Resipi nasi dagang juadah warisan tradisional Terengganu ini sangat sesuai dihidangkan pada waktu sarapan pagi bersama lauk yang paling ngam iaitu gulai ikan tongkol.
Dalam resipi ini sangat mudah kerana beras yang digunakan tidak perlu campur bersama beras pulut. Namun, hasilnya tekstur nasi tetap lembut, berderai dan tidak patah.
Jom baca resipi penuh perkongsian di bawah ini.
Baca lagi: Resepi Laksam Kuah Berlemak, Rasa ‘Ori’ Pantai Timur!
RESIPI NASI DAGANG
Bahan-bahan untuk nasi dagang:
- 4 cawan beras Jati (saya gunakan beras Nasi Dagang, jadi tak perlu campur beras pulut)
- 1 cawan beras pulut (optional untuk tekstur lebih lembut)
- 3 cawan santan cair (campurkan dengan sedikit gula dan garam)
- 1 hingga 1 ½ cawan santan pekat (campur sedikit garam)
- 1 sudu halba
- 2 ulas bawang merah, dihiris halus
- ½ inci halia, dihiris halus
Cara-cara membuat nasi dagang:
1. Campurkan beras Jati dengan beras pulut (jika menggunakan). Rendam beras tersebut selama 8 jam atau semalaman. Jika masa tidak mengizinkan, rendam selama 2 hingga 4 jam pun sudah memadai.
2. Setelah direndam, kukus beras dan pulut selama 20 minit hingga setengah masak. Angkat dan ketepikan seketika.
3. Keluarkan nasi yang telah dikukus tadi ke dalam bekas yang besar dan gaulkan dengan separuh daripada santan cair. Kacau sehingga semua santan meresap ke dalam nasi. Biarkan nasi rehat seketika supaya ia dapat menyerap lebih banyak santan.
4. Setelah itu, tambahkan baki santan cair dan gaul hingga rata. Pastikan semuanya sebati sebelum kita kukus sekali lagi.
5. Kukus semula nasi tadi selama 20 minit. Pada masa ini, nasi akan masak lebih sempurna dan santan akan memberikan kelembutan yang diidamkan.
6. Sementara nasi dikukus untuk kali kedua, hiriskan bawang merah dan halia halus-halus. Setelah nasi dikeluarkan dari kukusan, taburkan hirisan bawang, halia, dan halba di atas nasi.
7. Untuk langkah terakhir, kacaukan nasi yang telah dikukus dengan santan pekat. Pastikan santan pekat sebati dengan nasi. Anda tak perlu habiskan semua santan jika nasi sudah mencapai kelembutan yang diingini.
8. Nasi dagang anda sudah siap untuk dihidangkan!
Selamat mencuba!
Sumber: Samsinar Bustami
Baca lagi: Resipi Ayam Masak Kicap Yang Pekat Elok, Rupanya Ada Rahsia Kena Ikut