Penggemar masakan Thailand wajib cuba resepi sotong goreng pedas ini. Menu ini lebih kurang sama sahaja seperti sambal sotong, tetapi ada sedikit perbezaannya dari segi bahan.
Masakan Thailand ini kalau tak pedas, masam dan manis memang tak sah. Begitulah perumpamaan masakan yang dikongsikan oleh Saudara Wan Luqman di bawah.
Baca juga: Udang Masak Diraja, Penuh Rasa Dan Lemak Lemak Manis, Sedap Sangat!
RESEPI SOTONG GORENG PEDAS
Bahan-bahan:
- 2 ekor sotong – potong dan celur dalam air panas
- Cili padi – hiris @ cincang
- Bawang holland – hiris @ cincang
- Bawang putih – tumbuk
- Capsicum hijau – potong dadu
- Kacang panjang/buncis (optional) – hiris
- 1 sudu makan sos tiram
- 1 sudu makan pes namprik maepranom
- 1 sudu makan sos tomato
- 2 sudu makan sos cili
- Nampla sauce/sos ikan secukupnya
- Sedikit Kicap Golden Mountain
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bawang putih seketika.
2. Kemudian masukkan hirisan bawang holland, capsicum dan cili padi. Boleh juga masukkan kacang panjang, kacang buncis, lobak merah atau bunga kubis. Namun ia adalah pilihan sahaja bergantung pada selera masing-masing.
3. Masukkan sos tiram.
4. Masukkan juga sedikit kicap Golden Mountain.
5. Tambahkan sos cili.
6. Tidak dilupa, masukkan juga sos tomato. Jika tiada, boleh gantikan dengan sedikit perahan jus limau nipis atau tomato yang telah didadu.
7. Renjiskan sedikit sos nampla @ sos ikan.
8. Tambahkan pes namprik. Ia adalah pes cili dalam tin yang biasa digunakan untuk membuat tomyam.
9. Kuah asas untuk sotong sudah siap disediakan. Boleh rasa dan tambah perasa jika tidak cukup.
10. Seterusnya masukkan sotong yang telah dicelur dengan air panas. Menurut empunya resipi, jika sotong dimasukkan segar, air sotong akan meleleh keluar dan kuah masak pedas akan berbau sotong dengan kuat membuatkan rasanya jadi kurang enak.
11. Tambahkan daun limau purut.
12. Masukkan juga sedikit gula untuk memberikan sedikit rasa manis. Masakan ini perlu ada rasa pedas, manis, masin dan sedikit masam.
13. Sotong Goreng Pedas siap untuk dihidangkan. Selamat mencuba!
INFO: Jika guna sotong yang telah dicelur terlebih dahulu, bila siap dimasak sotong akan jadi tidak terlalu kecut.
Kredit: Wan Luqman
Baca juga: Resipi Sambal Udang Petai Yang Sedap, Makan Dengan Nasi Panas Fuhhh Menyengat!