Setiap kali berhenti di perhentian lebuh raya, kita akan lihat ramai peniaga yang jual pau sedap. Siapa sangka sebenarnya resepi pau kukus sangat mudah dibuat?
Pau juga dipanggil sebagai pao, baozi, bao, bau, humbow, nunu, bausak, atau pow, merupakan sejenis kuih yang diperbuat daripada tepung dan yis.
Tiada sesiapa akan menolak untuk memakan pau berbentuk bulat dengan inti berupa manisan, berdaging atau sayur-sayuran yang sungguh sedap.
Bagi mengenalpasti jenis pau yang dimasak, biasanya setitik pewarna diletakkan di atas pau bagi menandakan jenis inti yang terdapat di dalam pau tersebut.
Teknik paling mudah untuk memasak pau adalah dengan menggunakan cara mengukus seperti resepi pau yang dikongsikan oleh Fierah Zulaikha di Facebook ini.
Baca juga: Petua Buat Kuih Pau Yang Gebu & Tak Berkedut, Lembut Macam Bantal!
RESEPI PAU KUKUS
Bahan-bahan:
- 250g tepung pau (jenama Bluekey, barulah pau putih)
- 50g gula halus
- 2g garam halus
- 15g shortening
- 3g yis
- 1 sudu kecil baking powder
- 3g magic improver atau bread softener biasa
- Air suhu biasa secukupnya
Cara-cara:
1. Masukkan bahan kering kecuali yis dan sebatikan bahan, kemudian masukkan air secukupnya.
2. Masukkan yis dan putar sehingga doh menjadi elastik.
3. Selepas siap adunan, timbang doh dengan berat 40 hingga 50g dan bulatkannya, kemudian rehatkan doh dalam 5 minit.
4. Selepas itu, boleh mula bentukkannya dengan mempelajari cara daripada video di YouTube.
5. Setelah siap bentukkan pau, perap sekejap dalam 25 minit, bergantung kepada cuaca jika naik cepat.
6. Sebelum kukus, panaskan air dalam periuk kukus dahulu.
7. Setelah doh kembang, boleh kukus selama 15 hingga 18 minit dengan api sederhana, kemudian keluarkan pau dalam periuk kukus. Siap untuk dinikmati!
Jika ingin tahu pau sudah siap masak atau belum, anda hanya perlu lihat permukaan pau yang licin berkilat.
Resepi pau kukus ini lebih enak dihidangkan ketika masih panas. Jangan lupa untuk mengajak keluarga anda merasainya di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Fierah Zulaikha
Baca juga: Tip Pau Putih Cantik Gebu Dan Lembut, Uli Doh Guna TEKNIK Ini