Setiap kali tekak rasa dahaga, terus terbayang Puding Cendol Gula Melaka yang sedap dimakan sejuk-sejuk. Oleh itu, kami nak kongsikan cara membuatnya yang sangat mudah.
Nor Akmal Pahimi telah sudi kongsikan resipi Puding Cendol Gula Melaka di Facebook yang mendapat banyak pujian kerana hasilnya sangat mengagumkan. Jom kita cuba!
Baca juga: Puding Sumi Jelly Ala Tutti Fruity, Warna-Warni Begini Mesti Budak-Budak Suka!
RESIPI PUDING CENDOL GULA MELAKA
Bahan A (adunan cendol):
- ½ agar-agar bertali (dari agar-agar bertali yang 30gram)
- 1 liter air
- Gula (ikut selera masing2)
- 1¼ santan kotak kecil
- 1 paket kecil cendol
- Daun pandan (simpulkan)
- Secubit garam
Bahan B (adunan gula Melaka):
- ½ lagi agar-agar
- 1 liter air
- 1 ketul gula melaka (masak dengan 300ml air)
- Daun pandan
- ¾ santan kotak kecil
- Sedikit garam
Cara-cara menyediakan adunan cendol:
1. Mula-mula, masak agar-agar dengan air sampai larut agar-agar itu, kemudian masukkan gula dan kacau sampai gula larut.
2. Tuang santan dan kacau rata, kemudian letakkan daun pandan.
3. Masukkan cendol dan secubit garam, kemudian kacau sekejap tapi pastikan jangan sampai mendidih.
4. Selepas itu, basahkan loyang.
5. Keluarkan daun pandan dan tuang adunan agar-agar itu ke dalam loyang, kemudian biarkan seketika sampai separuh beku. Siap adunan cendol!
Cara-cara menyediakan adunan gula Melaka:
1. Mula-mula, masak agar-agar dengan air sampai larut agar-agar tersebut, kemudian masukkan air gula melaka tadi.
2. Selepas itu, tuang santan dan kacau sebati.
3. Masukkan daun pandan dan secubit garam, kemudian masak sampai mendidih. Siap adunan gula Melaka!
Cara-cara membuat puding:
1. Mula-mula, goreskan adunan cendol tadi dengan garfu terlebih dahulu.
2. Selepas itu, tuang adunan gula Melaka secara perlahan-lahan di atas adunan cendol tadi.
3. Kemudian, biar sejuk beku dan simpan dalam peti sejuk selama beberapa jam. Setelah itu, boleh dipotong. Siap untuk dinikmati!
Puding Cendol Gula Melaka ini boleh dijadikan sebagai pencuci mulut menarik di rumah. Apabila makan sepotong, tekak terus segar dibuatnya.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Akmal Pahimi
Baca juga: Resepi Puding Sagu Pelangi, Begini Caranya Dapat Hasil Cantik Dan Tak Hancur