Selain daging, ada banyak lagi bahagian lembu yang boleh dimakan dan salah satunya ialah lidah lembu. Namun, ramai yang tak tahu cara bersihkan lidah lembu yang betul.
Oleh kerana daging lembu sering digunakan dalam pelbagai penyediaan makanan, jadi tak hairanlah ramai yang kurang biasa dengan lidah lembu.
Buat pengetahuan anda, sebenarnya lidah lembu sangat sedap dimasak dengan tekstur pejal yang kenyal dan tak berserat.
Baca juga: Cara Bersihkan Perut Lembu Yang Mudah, Barulah Hasil Putih Bersih!
Tapi sebelum memasak lidah lembu, anda perlu tahu cara yang betul untuk membersihkannya supaya lidah lembu menjadi lembut dan hilang bau.
Orang kata, lidah lembu ini perlu dibakar untuk kikis lapisan kulit luar lidah tersebut. Tapi kami telah menjumpai cara bersihkan lidah lembu tanpa bakar yang cukup mudah.
Seperti perkongsian nurrharlimi melalui video di TikTok, beliau menggunakan cara rebus untuk membersihkan lidah lembu yang diperoleh daripada Hari Raya Haji kelmarin.
CARA BERSIHKAN LIDAH LEMBU TANPA BAKAR
1. Cuci lidah lembu dengan air mengalir sehingga bersih. Jika masih berlendir, lumurkan dengan garam atau cuka secukupnya dan biarkan beberapa saat, kemudian gosok dan bilas bersih sehingga lendirnya hilang.
2. Rebus lidah lembu sehingga air mendidih lebih kurang 10 hingga 15 minit atau sehingga berubah warna. Anda juga boleh masukkan daun salam, serai dan halia untuk hilangkan baunya.
3. Sebelum diangkat dari dalam periuk, cuba koyakkan sedikit kulit lidah lembu. Jika mudah dikupas, terus angkat dan kupas lapisan kulit luar lidah lembu yang kasar sehingga bersih.
4. Akhir sekali, bolehlah potong mengikut saiz yang disukai. Siap digunakan!
Lidah lembu ini boleh dimasak dengan resipi masak merah atau digoreng pedas. Selain itu, ia juga enak dimasak sup atau dicicah air asam.
Jika keluarga atau rakan anda sedang mencari cara bersihkan lidah lembu, anda bolehlah ajarkannya kepada mereka melalui artikel ini.
Semoga bermanfaat!
Sumber: nurrharlimi
Baca juga: Jangan Buang ‘Lidah Lembu’, Sedap Dimasak Lidah Goreng Kunyit