Resipi sup daging ekspres ini adalah salah satu hidangan kegemaran ramai kerana rasanya yang sedap dan penuh berkhasiat. Dengan campuran sayur-sayuran segar seperti kentang, lobak merah, dan brokoli, sup ini bukan sahaja sesuai dimakan pada bila-bila masa terutama semasa musim hujan dan kurang sihat.
Resipi ini juga sangat sesuai untuk kanak-kanak selain dari cara membuatnya yang mudah dan pantas.
Berikut adalah resipi ringkas tetapi sangat lazat untuk sup daging yang boleh anda cuba di rumah.
Baca lagi: Resipi Ketam Cili Padi Dimasak Bersama Serbuk Kari, Dia Punya Sedap Lain Macam, Fuh!
RESIPI SUP DAGING EKSPRES
Bahan-Bahan:
- Daging (direbus sehingga empuk, simpan air rebusan untuk digunakan sebagai stok)
- 2 biji kentang (dipotong dadu)
- 1 batang lobak merah (dipotong bulat)
- Segenggam brokoli (dicelur sebentar, toskan)
- 3 ulas bawang merah (dihiris)*
- 2 ulas bawang putih (dihiris)*
- 1 inci halia (dihiris)*
- 1-2 sudu besar rempah sup (pilihan: jenama Adabi)
- Garam secukup rasa
- Daun sup dan daun bawang (dihiris untuk hiasan)
Cara Penyediaan:
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bahan bertanda * (bawang merah, bawang putih, dan halia) sehingga naik bau dan berwarna keperangan.
2. Setelah tumisan harum, masukkan kentang dan lobak merah. Gaul rata supaya sayuran disaluti tumisan.
3. Bancuh rempah sup dengan sedikit air untuk membentuk pes, kemudian tuangkan ke dalam periuk. Tumis pes rempah sehingga pecah minyak dan naik bau.
4. Masukkan air rebusan daging atau air biasa ke dalam periuk. Tambahkan daging yang telah direbus dan kacau rata.
5. Reneh sup dengan api sederhana sehingga kentang dan lobak merah menjadi lembut.
6. Masukkan brokoli yang telah dicelur dan kacau sebentar. Taburkan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan.
7. Sup daging ini sedia untuk dinikmati. Hidangkan panas bersama nasi putih atau roti bakar untuk hidangan yang lebih menyelerakan.
Tip Tambahan:
- Untuk rasa yang lebih kaya, anda boleh menambahkan sedikit serbuk lada hitam atau lada putih sebelum dihidangkan.
- Jika anda suka, boleh juga tambahkan bihun yang telah dicelur untuk menjadikannya sup bihun daging yang enak!
Sumber: Siti Annallyssa
Baca lagi: Resipi Corndog Versi Mini, Satu Adunan Boleh Dapat 100 Batang!