Peminat drama Korea pasti tahu menu Bibimbap atau bahasa mudahnya, nasi campur Korea.
Walaupun anda bukan peminat ‘Korea’, pasti akan tertarik dengan hidangan ini kerana ianya kaya dengan khasiat.
Cara memasaknya juga sangat mudah. Bahan-bahan yang digunakan juga mudah didapati di pasaran. Jom lihat cara membuatnya hasil perkongsian oleh Zurina Zulkefli di bawah.
Resipi Bibimbap Nasi Campur Korea
Bahan yang perlu dimasak:
1. Daging kambing hiris memanjang, perap dengan kicap cair dan sos tiram selama 10 minit. Tak perlu garam.
2. Lobak merah hiris memanjang, perap dengan secubit garam halus.
3. Timun Jepun, hiris memanjang dan perap dengan secubit garam halus.
4. Tauge segenggam, cuci bersih.
5. Sawi Jepun, ketepikan bahagian yang keras, cuci bersih.
6. Sebiji telur ayam, cuci bersih.
Cara-cara:
1. Panaskan sesudu kecil minyak masak/minyak bijan. Goreng lobak merah ke atas kuali sehingga lembut.
2. Goreng hirisan timun Jepun sehingga lembut.
3. Masakkan daging kambing yg diperap tadi, api perlahan. Daging tak perlu garing atau kering, biarkan daging masak, lembut dan berjus.
Untuk tauge dan sawi Jepun, rebus dan toskan. Goreng telur mata, bahagian kuning biarkan sedikit cair.
4. Sediakan mangkuk sederhana besar, letak dua senduk nasi. Saya guna beras Sumo iaitu beras Jepun.
5. Susun bahan yang dimasak pada permulaan tadi. Aturannya, Ratakan nasi, kemudian letakkan telur mata ditengah-tengah.
Susun sayuran mengelilingi telur mata. Kimchi dan Gochujang (Pes Cili Korea) saya beli di pasaraya.
Kemudian tabur sedikit biji bijan, sedikit sahaja. Tak perlu banyak. Siap, sedia untuk dimakan.
6. Cara makan, gaulkan kesemua bahan di dalam mangkuk.
7. Tekap dengan sudu.
8. Makan dengan rumpai laut pun sedap!
Kredit: Zurina Zulkefli