Baru-baru ini, viral berkenaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin atau mesra disapa Tokti membuat cireng. Akibatnya, satu Malaysia terpengaruh untuk mencuba resepi cireng!
Cireng merupakan salah satu makanan ringan yang berasal dari daerah Sunda, Indonesia. Salah satu bahan utama yang digunakan adalah tepung ubi.
Jika ada yang tertanya-tanya bagaimana rasanya, mari kita cuba buat sendiri menggunakan resipi perkongsian oleh Nija Lim di bawah.
Baca juga: Roti Gabin, Makanan ‘Rare’ Indonesia Ini Sedap Cicah Dengan Kopi Panas
RESEPI CIRENG RANGUP TAPI LEMBUT
Bahan-bahan:
- 3 cawan tepung ubi kayu
- 2 cawan air
- Sedikit garam
- Sedikit seasoning
- 3-4 ulas bawang putih
- Sedikit daun bawang
Cara-cara:
1. Pertama sekali, cincang bawang putih dan hiris halus daun bawang.
2. Masukkan tepung ubi dan air ke dalam kuali dan kacau sebati tanpa buka api.
3. Kemudian, boleh buka menggunakan api sederhana dan kacau tepung sampai bergumpal jernih. Lebih baik guna kuali non stick supaya mudah dicuci nanti.
4. Setelah itu, pindahkan ia ke dalam bekas lain dan tambah sedikit tepung ubi kayu.
5. Uli-uli sedikit sampai bersalut tepung. Rupa adunan akan bertukar sedikit putih.
6. Seterusnya, carik-carik adunan mengikut saiz dan bentuk yang disukai.
7. Selepas itu, tekan-tekan adunan yang dicarik dengan lebihan serbuk tepung ubi kayu supaya tak melekat.
8. Goreng di dalam minyak yang banyak dan cukup panas.
9. Dah garing di bahagian bawah, baru terbalikkan.
10. Apabila kelihatan dah cukup garing, kekuningan dan kembung-kembung baru boleh diangkat.
11. Kena betul-betul garing, kalau tak ia akan melekat dan serap minyak. Selamat mencuba!
RESIPI SAMBAL KICAP PETIS
Bahan-bahan:
- Gula gerek
- Kicap manis
- Garam
- Petis udang
- Cili kisar
- Air sedikit
Cara-cara:
1. Masak bahan-bahan tersebut dengan mengacaunya sehingga ia sedikit pekat.
2. Kemudian, rasa sambal kicap petis mengikut kesesuaian sendiri seperti rasa manis kepedasan.
Kredit resipi dan gambar: Nija Lim, Fitria Ria
Baca juga: Serabi Pandan Kuah Kinca, Penkek Tradisional Indonesia Yang Boleh Dicuba