Selain kek lapis, sebenarnya ada satu lagi kek yang sangat popular di Sarawak iaitu Kek Lumut Kukus dan semakin ramai menggemarinya sekarang
Cubalah tanya kepada rakan anda yang berasal dari Sarawak tentang Kek Lumut Kukus, semestinya mereka akan mengatakan bahawa kek ini sungguh unik dan istimewa.
Tak sabar nak tahu betapa sedapnya kek ini, apa kata anda ikut resipi menarik oleh Shafli Sharp yang dikongsikan di Facebook dan tengok hasilnya nanti. Jom kita cuba!
Baca juga: Kek Madu Kemenyan, Ramai Kata Kek Ini Rasa ‘Berhantu’ Bila Makan
RESIPI KEK LUMUT KUKUS
Bahan-bahan:
- 1½ cawan tepung gandum*
- 1½ cawan Horlicks* (* satukan)
- 1 cawan gula
- 300gm butter
- 5 biji telur grade A
- 1 sudu besar emulco pandan
- 4 sudu besar serikaya pandan
- ½ cawan susu pekat
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, pukul butter dan gula sehingga putih dan kembang dengan kelajuan maksimun.
2. Kemudian, masukkan telur satu demi satu sambil dipukul perlahan.
3. Seterusnya, masukkan susu pekat, serikaya, pandan paste dan pukul rata setiap campuran dimasukkan.
4. Selepas itu, masukkan tepung campuran horlicks.
5. Selanjutnya, tuangkan ke dalam loyang 8”x8” yang di lapik dan dilenser dengan butter.
6. Tutup loyang dengan aluminium foil bagi mengelak air jatuh di permukaan kek.
*Sebelum itu, sapu sedikit butter pada aluminium foil supaya apabila kek masak, ia tak melekat dan permukaan akan jadi cantik.
7. Akhir sekali, kukus lebih kurang dalam 2 hingga 3 jam dengan menggunakan api sederhana. Apabila sudah sejuk, boleh dipotong. Siap untuk dinikmati!
Keunikan yang ada pada Kek Lumut Kukus ini adalah kerana warnanya yang hijau seperti lumut serta teksturnya lembap dan gebu apabila dimakan.
Orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia pasti teringin makanan di sana, jadi resipi ini sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu anda dengan kampung halaman.
Selamat mencuba!
Sumber: Shafli Sharp
Baca juga: Wanita Sarawak Ini Kongsi Resepi Kek Lumut Kukus, Hasil Gebu Elok!