Apabila ditanya tentang pencuci mulut paling mudah dibuat di rumah, semestinya ramai akan jawab Kek Batik Pandan. Mana taknya, resipi ini tak perlu gunakan oven sama sekali.
Buat pengetahuan anda, Kek Batik adalah sejenis pencuci mulut di Malaysia yang dibuat tanpa bakar dan sering dihidangkan semasa perayaan.
Biskut merupakan salah satu bahan utama untuk membuat pelbagai jenis Kek Batik dan paling ramai suka gunakan biskut Marie kerana lebih sedap daripada biasa.
Biasanya pencuci mulut ini dibuat bersama coklat ganache, tapi kali ini kami terjumpa resipi lain dari yang lain iaitu Kek Batik Pandan yang sungguh lembut.
Baca juga: Kek Pisang Sukatan Cawan, Nampak Berurat Cantik Jika Ikut RAHSIA Ini
RESIPI KEK BATIK PANDAN
Bahan-bahan:
- 1 paket biskut Marie
- 100g butter
- 1 cawan nestum (dikisar halus)
- 1/2 tin susu pekat
- 1/2 tin susu cair
- 1 sudu kecil pes pandan
- Sedikit pewarna epal hijau
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, cairkan butter dengan api sederhana.
2. Kemudian, masukkan susu pekat serta susu cair dan kacau sampai sebati.
3. Selepas itu, masukkan nestum, pes pandan dengan pewarna dan gaul sebati sehingga menjadi pekat.
4. Seterusnya, tutup api dan masukkan biskut marie serta kacau sebati.
5. Akhir sekali, masukkan ke dalam bekas dan tekan sehingga padat, kemudian sejukkan dalam peti ais selama beberapa jam. Setelah itu, boleh dipotong. Siap untuk dinikmati!
Hasilnya yang lembut dan cair di mulut pasti membuatkan anda terasa puas menikmatinya. Jika sudah makan pencuci mulut ini, memang tak sempat nak toleh kiri kanan punyalah.
Tak perlu risau jika anda tak tahu buat kek sekalipun sebab orang yang tak pandai pun boleh dapat hasil menjadi setelah membuat Kek Batik Pandan ini.
Manalah tahu tiba-tiba anak teringin makan kek yang sedap, paling senang dan cepat mestilah guna resipi Kek Batik Pandan ini.
Selamat mencuba!
Sumber: Fatien Zaini
Baca juga: Resepi Kek Batik Rangup Tanpa Loyang, Boleh Buat Guna Bekas Biasa Di Rumah