Apam pisang kukus antara kuih yang boleh disediakan menggunakan pisang berangan yang sudah cukup masak. Pisang yang masak ranum memberikan rasa manis semula jadi dan aroma harum, selain membantu menghasilkan tekstur apam yang lembut dan gebu.

Menariknya, resipi ini ialah pisang hanya perlu dilenyek dan tidak dikisar bersama bahan-bahan lain. Cara ini membolehkan tekstur pisang masih terasa apabila apam dimakan. Boleh juga letakkan hirisan pisang di atas adunan supaya rupa apam lebih menarik.

Adunan hanya menggunakan bahan asas seperti tepung gandum, telur, gula dan minyak masak. Selepas dimasukkan ke dalam acuan, kukus selama 25 hingga 30 minit sehingga apam masak sempurna. Hidangan ini sesuai dijadikan sarapan atau minum petang, terutama untuk anak-anak.

Baca juga: Resipi Apam Mekar Zebra Coklat Gebu Dan Cantik Coraknya, Sekali Kukus Terus Jadi!

RESIPI APAM PISANG KUKUS

apam pisang kukus

Bahan-bahan:

  • 1½ cawan tepung gandum
  • ½ cawan gula pasir
  • ½ cawan minyak masak
  • 1 cawan pisang berangan masak (dilenyek)
  • 1 biji telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 sudu kecil serbuk penaik (baking powder)
  • 1 sudu kecil soda bikarbonat
  • Secubit garam

Cara Penyediaan: 

  1. Lenyekkan 5 hingga 6 biji pisang berangan yang masak sehingga mendapat 1 cawan.
  2. Masukkan telur, minyak masak, gula, esen vanila dan garam ke dalam pengisar. Kisar sehingga sebati.
  3. Tuangkan adunan ke dalam mangkuk. Masukkan pisang yang telah dilenyek dan gaul rata.
  4. Ayak tepung gandum, baking powder dan soda bikarbonat. Masukkan ke dalam adunan dan gaul sehingga sebati.
  5. Masukkan adunan ke dalam piping bag. Sapu minyak pada acuan dan isikan adunan sehingga separuh penuh.
  6. Letakkan hirisan pisang di atas adunan sebagai hiasan.
  7. Panaskan pengukus sehingga air mendidih sebelum memasukkan acuan.
  8. Kukus selama 25 hingga 30 minit menggunakan api sederhana sehingga apam masak.

Tip: Gaulkan pisang yang telah dilenyek dengan sedikit gula dan simpan di dalam peti sejuk semalaman untuk mendapatkan warna apam yang lebih gelap.

Sumber: Threads @thebidadaribox

Baca juga: Apam Gula Hangus Gebu Tak Perlu Banyak Bahan, Kukus 10 Minit Saja Dah Siap

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending