Terasa ingin makan kek coklat yang lembut, lembap dan kaya dengan rasa koko? Resepi kek coklat moist ini boleh dicuba kerana menggunakan bahan-bahan mudah yang kebanyakannya sudah tersedia di dapur.

Dikongsikan oleh CikPuan Reyha di Facebook, resipi ini menarik kerana adunannya boleh dimasak menggunakan dua kaedah iaitu kukus atau bakar. Sukatannya juga menggunakan cawan, jadi lebih mudah untuk disediakan sendiri di rumah bila-bila masa sahaja jika teringin.

Baca juga: Kek Pisang Coklat Moist Ini Memang Wajib Cuba! Hasilnya Lembut, Lembab & Kaya Rasa Coklat

RESEPI KEK COKLAT MOIST SUKATAN CAWAN, BOLEH KUKUS ATAU BAKAR

resepi kek coklat moist sukatan cawan

Salah satu petua penting untuk menghasilkan kek coklat moist ialah memanaskan campuran bahan coklat di atas dapur terlebih dahulu sehingga sebati. Selepas itu, masukkan telur ketika adunan masih panas dan kacau dengan pantas supaya semuanya bercampur rata.

Berikut ialah bahan-bahan dan cara penyediaan yang dikongsikan.

Bahan-bahan

Bahan A:

  • 1 cawan serbuk koko
  • ¾ cawan gula
  • ¾ cawan susu pekat
  • 1 cawan susu cair atau susu penuh krim
  • 1 cawan minyak masak

Bahan B:

  • 3 biji telur gred A

Bahan C:

  • 1¼ cawan tepung gandum
  • 1 sudu kecil baking powder
  • ½ sudu kecil soda bikarbonat

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan serbuk koko, gula, susu pekat, susu cair dan minyak masak ke dalam periuk.
  2. Gaulkan semua bahan menggunakan whisk sehingga sebati.
  3. Panaskan campuran tersebut di atas dapur dengan api perlahan sehingga semua bahan larut dan sebati. Tidak perlu mendidih.
  4. Tutup api dan masukkan telur ke dalam adunan coklat yang masih panas.
  5. Kacau dengan pantas menggunakan whisk sehingga telur bercampur rata.
  6. Ayak tepung gandum, baking powder dan soda bikarbonat.
  7. Masukkan bahan kering sedikit demi sedikit ke dalam adunan coklat.
  8. Kacau sehingga adunan sebati dan tidak berbintil.
  9. Sapu sedikit minyak pada loyang atau acuan pilihan supaya kek mudah dikeluarkan selepas masak.
  10. Tuangkan adunan ke dalam loyang atau acuan.

CARA MASAK KEK COKLAT MOIST

Resipi ini boleh dimasak menggunakan dua kaedah mengikut kemudahan masing-masing.

Kaedah kukus:

  • Panaskan pengukus terlebih dahulu.
  • Kukus kek selama kira-kira 50 minit atau sehingga masak.
  • Pastikan penutup pengukus dibalut dengan kain supaya air tidak menitis ke atas permukaan kek.

Kaedah bakar:

  • Panaskan ketuhar pada suhu 140°C.
  • Bakar selama minimum 45 minit atau sehingga kek masak.
  • Cucuk bahagian tengah kek menggunakan lidi. Jika lidi keluar tanpa adunan basah, kek sudah masak.

SUKATAN ADUNAN DAN PILIHAN ACUAN

Berdasarkan perkongsian CikPuan Reyha, satu adunan ini boleh digunakan untuk menghasilkan:

  • 1 loyang bersaiz 8 inci
  • 2 loyang bersaiz 6 inci
  • 5 acuan puding bersaiz 5 inci

Pastikan acuan disapu sedikit minyak terlebih dahulu sebelum adunan dimasukkan.

Resepi kek coklat moist ini sesuai dicuba bagi yang ingin menyediakan kek sendiri di rumah tanpa menggunakan sukatan yang rumit. Menariknya, anda boleh memilih sama ada mahu mengukus atau membakarnya mengikut peralatan yang ada.

Selamat mencuba!

Sumber: CikPuan Reyha

Baca juga: Kek Guna Marjerin Pelangi, Lagi Lama Disimpan Lagi Lembut & Moist Bila Makan!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending