Halia goreng antara cara menarik untuk menikmati halia selain digunakan sebagai bahan tumisan atau masakan. Apabila digoreng dengan teknik yang betul, hasilnya rangup, garing dan mempunyai tekstur berurat seperti serunding daging.

Menariknya, cara penyediaan halia goreng ini tidaklah susah. Halia hanya perlu dibersihkan, dibuang kulit dan disagat secara manual sebelum digoreng menggunakan minyak yang banyak sehingga kelihatan timbul.

Selepas sejuk, halia goreng boleh disimpan dalam bekas kedap udara untuk dinikmati kemudian. Malah, rasanya boleh ditambah dengan perasa seperti gula, garam dan serbuk ikan bilis mengikut selera.

Baca juga: Cara Buat Serunding Kelapa Sedap Untuk Pulut & Inti Kuih, Tak Susah Pun Rupanya!

CARA BUAT HALIA GORENG

halia goreng

Bahan-bahan:

  • Halia secukupnya
  • Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
  • Gula secukup rasa (pilihan)
  • Garam secukup rasa (pilihan)
  • Serbuk ikan bilis secukup rasa (pilihan)

Cara-cara penyediaan:

  1. Bersihkan halia dan kupas kulitnya sehingga bersih.
  2. Sagat halia secara manual menggunakan pemarut. Tidak perlu menggunakan mesin untuk mendapatkan tekstur halia yang berurat.
  3. Panaskan minyak masak dalam jumlah yang banyak sehingga betul-betul panas.
  4. Masukkan halia yang telah disagat dan goreng sehingga kelihatan timbul di permukaan minyak.
  5. Angkat halia dan toskan minyak menggunakan penapis serta tisu dapur.
  6. Biarkan halia goreng sehingga minyaknya betul-betul kering dan sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
  7. Keesokan harinya, sangai halia goreng dalam kuali dan tambahkan gula, garam serta serbuk ikan bilis jika suka.
  8. Gaul rata dan halia goreng sedia untuk dinikmati.

Tip: Pastikan halia betul-betul sejuk sebelum disimpan supaya tekstur rangupnya dapat dikekalkan lebih lama. Halia goreng ini boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan pelengkap nasi dan pelbagai hidangan bergoreng.

Sumber: Fini Mikail

Baca juga: Resipi Serunding Ikan Homemade, Berbaloi Buat Sendiri Sebab Jimat & Tahan Lama!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending