
Keropok lekor ikan bilis kini menjadi antara resipi yang paling hangat diperkatakan di media sosial selepas ramai pengguna berkongsi hasil cubaan mereka. Menggunakan hanya beberapa bahan asas seperti nasi sejuk dan ikan bilis, resipi ini berjaya mencuri perhatian kerana cara penyediaannya yang mudah serta hasilnya yang kenyal di dalam dan rangup selepas digoreng.
Tidak seperti keropok lekor tradisional yang menggunakan isi ikan segar, versi ini lebih menjimatkan dan sesuai untuk mereka yang ingin menyediakan snek homemade dengan bahan sedia ada di dapur. Malah, ramai mengakui rasanya tetap sedap dan sesuai dinikmati bersama sos cili kegemaran.
Baca juga: Cara Buat Breadcrumbs Guna Biskut Je…Hasilnya Lagi Rangup, Jimat Dan Sedap Macam Beli
RESIPI KEROPOK IKAN BILIS

Bahan-bahan:
- 2 cawan nasi sejuk
- 1 cawan ikan bilis
- ½ biji bawang merah (pilihan)
- 3 hingga 4 ulas bawang putih
- 1½ cawan tepung ubi
- 1 sudu kecil baking powder
- Garam secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa (jika suka)
Cara-cara penyediaan:
1. Masukkan nasi sejuk, ikan bilis, bawang merah dan bawang putih ke dalam pengisar atau chopper, kemudian kisar sehingga halus.
2. Pindahkan adunan ke dalam bekas dan campurkan bersama tepung ubi serta baking powder.
3. Uli sehingga menjadi doh yang lembut dan mudah dibentuk.
4. Bentukkan doh memanjang seperti keropok lekor atau mengikut bentuk yang diinginkan.
5. Didihkan air dan tambahkan sedikit minyak.
6. Rebus keropok sehingga ia timbul di permukaan air.
7. Angkat dan biarkan sejuk sepenuhnya.
8. Sapukan sedikit minyak pada permukaan keropok supaya kekal lembap dan mudah dipotong.
9. Goreng menggunakan api sederhana sehingga keemasan dan rangup sebelum dihidangkan.
Tips buat keropok lekor ikan bilis lebih menjadi
- Gunakan nasi yang benar-benar sejuk atau nasi semalaman untuk mendapatkan tekstur doh yang lebih baik.
- Jika adunan terlalu lembik, tambahkan sedikit tepung ubi sedikit demi sedikit sehingga doh mudah diuli.
- Rebus keropok sehingga betul-betul terapung bagi memastikan bahagian dalam masak dengan sempurna.
- Gunakan api sederhana semasa menggoreng supaya keropok masak sekata dan tidak cepat hangus.
- Keropok yang telah direbus boleh disimpan di dalam peti sejuk beku. Apabila ingin dimakan, terus goreng tanpa perlu dinyahbekukan terlebih dahulu.
Dengan hanya menggunakan bahan yang ringkas dan mudah didapati, keropok lekor ikan bilis ini boleh dijadikan pilihan untuk hidangan minum petang, bekalan anak ke sekolah atau stok makanan sejuk beku di rumah. Tidak hairanlah resipi ini terus menjadi viral dan mendapat perhatian ramai kerana rasanya yang sedap serta cara penyediaannya yang begitu mudah.
Selamat mencuba!
Sumber: Norashikin Ismail
Baca juga: Sagu Merah Ini Jadi Bulat Cantik Guna Acuan Lompang, Ramai Baru Tahu Cara Mudah Ini
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














