Resipi apam mekar zebra antara pilihan kuih yang menarik untuk disediakan. Bukan sahaja teksturnya gebu dan lembut, malah corak belang seperti zebra menjadikan apam ini nampak lebih menarik apabila dihidangkan.

Menariknya, adunan asas apam mekar ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati di dapur. Untuk menghasilkan corak zebra, adunan dibahagikan kepada dua bahagian sebelum dicampurkan dengan perisa coklat bagi mendapatkan corak belang yang cantik.

Kalau sudah biasa membuat apam kukus, resipi ini boleh dicuba pula untuk kelainan. Hidangkan bersama secawan teh atau kopi panas untuk dinikmati bersama keluarga pada waktu sarapan atau minum petang.

Baca juga: Agar Agar Cendol Santan Berlapis, Lemak Berkrim Dengan Manis Gula Melaka!

RESIPI APAM MEKAR ZEBRA PERISA COKLAT

resipi ayam mekar

Bahan-bahan:

  • 1 biji telur gred B
  • 150 gram gula
  • 1 sudu teh ovalette
  • 1 sudu teh perisa pilihan
  • 150 ml air, susu cair atau santan
  • 200 gram tepung gandum
  • Serbuk koko atau perisa coklat secukupnya

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan telur, gula, perisa pilihan, air, susu cair atau santan dan tepung gandum ke dalam mangkuk adunan.
  2. Pukul semua bahan menggunakan pengadun sehingga sebati.
  3. Masukkan ovalette dan teruskan memukul menggunakan kelajuan paling tinggi sehingga adunan menjadi putih, pekat dan kental.
  4. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Biarkan satu bahagian dengan warna asal, manakala satu lagi dicampurkan dengan serbuk koko atau perisa coklat. Gaul sehingga sebati.
  5. Sediakan acuan apam dan masukkan adunan secara berselang-seli antara warna asal dengan adunan coklat untuk menghasilkan corak zebra.
  6. Panaskan pengukus terlebih dahulu. Pastikan air di dalam pengukus tidak terlalu banyak, cukup sekadar anggaran satu ruas jari.
  7. Susun acuan di dalam pengukus dan kukus menggunakan api besar selama 15 minit. Jika menggunakan acuan lompang, masa mengukus sekitar 12 minit.
  8. Setelah masak, keluarkan apam daripada pengukus dan biarkan seketika sebelum dikeluarkan daripada acuan.
  9. Apam mekar zebra coklat sedia untuk dinikmati.

Tip: Pastikan adunan dipukul sehingga benar-benar putih dan kental sebelum dibahagikan. Langkah ini membantu menghasilkan tekstur apam yang gebu dan lembut.

Sumber: Nhi Nooris

Baca juga: Resipi Donut Bantal Versi ‘Malas’, Tak Perlu Uli Lama Atau Bentuk Bulat Satu-Satu!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending