Resepi ayam masak merah simple ini sesuai untuk sesiapa yang mahukan lauk sedap tanpa perlu menggunakan banyak bahan. Dengan gabungan bawang, cili kisar, sos cili dan gula Melaka, kuahnya cukup rasa untuk dinikmati bersama nasi putih panas.

Menerusi perkongsian Izatie Khaidir di Facebook, suaminya lebih menyukai ayam masak merah versi ringkas tanpa rempah empat sekawan atau serai. Selepas mencuba cara ini, akhirnya masakan tersebut mendapat pujian suami. Nampak mudah, tetapi rasanya memang boleh buat seisi keluarga berselera!

Baca juga: Resepi Sup Ayam Thai Simple Dengan Labu Air, Rasa Masam Pedasnya Memang Bikin Ketagih!

RESEPI AYAM MASAK MERAH SIMPLE, MUDAH DAN SEDAP

resepi ayam masak merah simple

Keistimewaan resipi ini ialah penggunaan bahan asas yang mudah didapati di dapur. Ayam digoreng separuh masak terlebih dahulu sebelum dimasak bersama kuah cili yang ditumis sehingga naik bau.

Tak perlu menggunakan terlalu banyak rempah, cukup dengan memastikan bahan tumisan masak sempurna dan rasa kuah seimbang. Resipi ini juga sesuai dijadikan pilihan lauk untuk makan tengah hari atau makan malam bersama keluarga.

Bahan-bahan:

  • Ayam secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk kunyit secukupnya
  • 1 biji bawang Holland
  • Bawang merah secukupnya
  • 1 ulas bawang putih (pilihan)
  • Cili kisar secukupnya
  • Sos cili secukupnya
  • Gula Melaka secukup rasa
  • Sedikit air
  • Hirisan bawang Holland untuk hiasan

Cara-cara penyediaan:

1. Gaulkan ayam bersama garam dan serbuk kunyit sehingga rata. Goreng sehingga separuh masak, kemudian angkat dan ketepikan.

2. Kisar bawang Holland, bawang merah dan bawang putih. Jika tidak suka bawang putih, boleh abaikannya mengikut selera.

3. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga masak dan naik bau.

4. Masukkan cili kisar, kemudian tumis sehingga cili benar-benar masak dan tidak berbau mentah.

5. Tambahkan sos cili, garam, gula Melaka dan sedikit air. Kacau rata sehingga kuah sebati dan sesuaikan rasanya.

6. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga semua bahagian ayam bersalut dengan kuah merah.

7. Akhir sekali, taburkan hirisan bawang Holland. Biarkan ayam masak sepenuhnya dan kuah meresap sebelum diangkat untuk dihidangkan.

Ayam masak merah ini sedap dimakan ketika masih panas bersama nasi putih. Jika suka kuah yang lebih pekat, gunakan air secukupnya dan biarkan kuah mereneh sehingga mencapai kepekatan yang diinginkan.

Selamat mencuba!

Sumber: Izatie Khaidir

Baca juga: Cara Simpan Ayam Goreng Kunyit Untuk Stok Seminggu, Balik Kerja Terus Boleh Masak

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending