Bila tengok K-Drama zaman Joseon, mesti akan ternampak hidangan Sup Ayam Ginseng (Samgyetang) ini dalam babak tersebut. Nak pula melayan drama tersebut ketika hujan, terliur mulut dibuatnya.
Mari kita cuba buat mengikut resipi dari Cik Puan Nur Anny Sofia ini. Resipi perkongsian beliau memang mudah untuk diikuti dan anda juga boleh mencubanya.
Baca juga: Bebola Nasi Atau Jumeok-Bap Ala Korea, Laku Habis Anak Anak Makan!
Bahan-bahan yang disenaraikan juga memang tak jauh beza dengan hidangan sup ayam ala melayu. Cuma ada tambahan beras pulut, ginseng dan buah kurma merah bagi melengkapkan hidangan Samgyetang ini.
Ikuti cara-cara memasak di bawah.
RESIPI SUP AYAM GINSENG (SAMGYETANG)
Bahan-bahan:
- 1/2 cawan beras pulut atau beras butir pendek
- 1 ekor ayam
- 15 hingga 20 ulas bawang putih
- 3 biji buah kurma merah Cina
- Segenggam ginseng
- Daun bawang
- 1 sudu besar stok ayam
- Garam
- Lada hitam
Cara-cara memasak:
1. Basuh beras dan rendam seketika. Kemudian, bersihkan ayam seeloknya dengan garam. Pastikan ayam tiada darah atau bau yang tidak menyenangkan.
2. Hiris bawang putih. Selepas itu, Buang biji buah kurma dan hiris nipis-nipis.
3. Sumbat beras yang telah direndam bersama bawang putih, buah kurma merah dan ginseng ke dalam ayam. Tutup atau ikat bukaan ayam.
4. Rebus ayam dengan air yang secukupnya. Guna api yang besar selama 20 minit, kemudian tukar ke api sederhana besar selama 30 minit.
5. Pastikan isi ayam cukup masak dan nasi di dalam ayam masak sekata.
6. Dah hujung masak-masak, taburkan daun bawang.
7. Ayam boleh dicarik atau dipotong untuk dihidangkan. Jangan lupa keluarkan nasi yang disumbat di dalam ayam tadi.
Hidangan dah siap! Sup ayam ginseng ala Korea ini boleh dimakan begitu sahaja. Yang seronoknya, bila nikmati hidangan ini semasa hari sedang hujan lebat. Memang syahdu!
Selamat mencuba semua.
Baca juga: Japchae Ikut Tekak Melayu, Korea Glass Noodle Yang Sedap Dan Rugi Tak Cuba!