Bila bosan dengan mi goreng, spageti goreng kampung adalah pilihan yang tepat! Menu ini lebih disukai anak-anak kerana teksturnya yang tidak muak.
Dalam entri hari ini, kami akan kongsikan resipi spagheti goreng kampung yang tentunya sangat berbaloi untuk dicuba. Menu ini juga sesuai untuk dijadikan bekal harian untuk anak-anak mahupun diri sendiri.
Jom lihat perkongsian Cik Puan Syalfarina Razali menerusi laman sosial Facebook beliau.
Baca lagi: Mi Kuah Penang Terlalu Sempoi, Tengok Pun Bikin Terliur!
RESIPI SPAGETI GORENG KAMPUNG
Bahan-Bahan:
- 1 bungkus spagheti (rebus mengikut arahan pada bungkusan)
- 1 biji bawang Holland (saiz sederhana, cincang kasar)
- 1 biji bawang besar (cincang kasar)
- 6 ulas bawang putih (cincang halus)
- 1 biji tomato (cincang dadu)
- Sosej (hiris mengikut kesukaan)
- Isi ayam bertulang (potong kecil)
- Isi udang (jika ada, boleh ditambah)
- Sawi (kuantiti ikut kehendak)
- Minyak masak (untuk menumis)
- 1 sudu besar cili kisar (boleh disesuaikan mengikut tahap kepedasan)
- 5 sudu besar kicap manis
- 2 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar sos tomato
- 2 sudu besar sos cili
- 1 biji telur (untuk menambah rasa)
Cara Memasak:
1. Mulakan dengan merebus spagheti hingga lembut. Pastikan anda mengikuti arahan pada bungkusan spagheti yang digunakan.
2. Cincang kasar bawang Holland, bawang besar, bawang putih, dan tomato. Hiriskan sosej dan potong isi ayam serta udang jika ada.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang dan tomato hingga wangi. Tambahkan satu sudu besar cili kisar, tetapi jangan terlalu banyak untuk mengelakkan hidangan menjadi terlalu pedas.
4. Setelah cili mula garing, masukkan isi ayam, sosej, dan udang. Gaul rata sehingga semua bahan masak.
5. Masukkan kicap manis, sos tiram, sos tomato, dan sos cili ke dalam kuali. Anda boleh mengubah suai kuantiti sos mengikut citarasa masing-masing. Pecahkan sebiji telur di tepi kuali dan kacau hingga telur masak.
6. Masukkan spagheti yang telah direbus ke dalam kuali bersama satu senduk kecil air rebusan spaghetti. Gaul rata sehingga semua ramuan sebati.
7. Akhir sekali, masukkan sayur sawi. Gaul hingga spaghetti lembap tetapi tidak terlalu basah. Jika perlu, boleh tambah sedikit perasa, tetapi bagi resipi ini, garam tidak diperlukan kerana sos sudah cukup sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca lagi: Aiskrim Asam Boi Limau Kasturi Berkisar Halus, Lega Tekak Waktu Hari Panas!