Setiap negeri mempunyai resepi hidangan menggunakan mi kuning yang menarik dan salah satunya ialah resepi Mee Rebus Terengganu.
Mee Rebus Terengganu ialah hidangan mi yang popular di Terengganu dan cara hidangannya lebih kurang sama seperti Mee Bandung dan Mee Udang.
Jika belum pernah makan Mee Rebus Terengganu, kami cadangkan untuk anda cuba sekali seumur hidup kerana rasa hidangan ini memang lain dari yang lain.
Masliana Ibrahim telah kongsikan resepi Mee Rebus Terengganu di Facebook yang sangat mudah dan sedap. Jom cuba!
Baca juga: Resepi Mee Bandung Simple, Macam Ini Hirup Kuah Pun Puas!
RESEPI MEE REBUS TERENGGANU
Bahan-bahan:
- 1 bungkus mi kuning
- 2 ulas bawang putih
- 5 ulas bawang merah
- 2 biji cili padi
- 1 batang lobak merah (saiz kecil)
- 1 mangkuk udang
- 2 ikat sawi manis
- 1 mangkuk sotong
- 1 pokok daun ketumbar
- Sehiris lemon
- 1 biji telur
Cara-cara:
1. Basuh mi bersih-bersih, toskan dan ketepikan.
2. Tumis bawang putih dan bawang merah yang telah ditumbuk dengan minyak masak dan goreng sehingga naik bau, kemudian perahkan jus lemon.
3. Masukkan air dan masak sehingga mendidih, kemudian masukkan lobak merah yang telah dipotong bulat.
4. Masukkan telur, kemudian tunggu sehingga masak dahulu.
5. Masukkan udang dan sotong, kemudian tunggu sekejap sehingga masak.
6. Masukkan mi kuning dan semua sayur yang masih tinggal, tapi masak sekejap saja supaya sayur tak layu. Apabila mi sudah okay, boleh tutup api dapur. Siap untuk dihidang!
Cara buat Mee Rebus Terengganu cukup ringkas tanpa jalan kerja yang renyah, malah bahan-bahan penyediaannya juga mudah dicari.
Maklumlah kadangkala teringin makan hidangan berkuah yang panas, jadi Mee Rebus Terengganu ini memang pilihan tepat untuk anda nikmatinya di rumah.
Jika anda nak resepi Mee Rebus Terengganu ini nampak lebih menarik, boleh taburkan cili potong dan daun ketumbar. Nak tambah sedap, boleh masukkan sos cili juga.
Selamat mencuba!
Sumber: Masliana Ibrahim
Baca juga: Resepi Mee Rebus Daging Dengan 5 Langkah, Sekejap Saja Dah Siap!