Ada rahsia rupanya nak buat popia goreng bersira kekal rangup sampai ke malam. Seorang pengguna Facebook berjaya mencuri perhatian MyResipi setelah berkongsi resipi kuih Popia Sira yang pedas dan manis.
Menurut wanita yang dikenali sebagai Mariana Zainal itu, popia sira yang sesuai dijadikan hidangan menu petang itu akan kekal rangup sehingga sampai malam hari.
Baca juga: Kulit Popia Keras Dan Kering? Ini Petua Nak Lembutkan Balik
Berikut perkongsian resepi dan teknik yang betul daripada Cik Puan Mariana yang dimuat naik menerusi satu hantaran di laman Facebook.
RESIPI POPIA GORENG BERSIRA
Bahan kulit popia:
- 50 pcs kulit popia (saya guna brand KG warna oren)
- 1 sdb tepung gandum (bancuh guna air 4-5 sdb untuk jadikan pelekat)
Bahan-bahan inti:
- 1/2 biji kubis (hiris nipis)
- 3 batang lobak merah ( sagat)
- 3-4 biji tauhu (goreng dan potong dadu)
- 1 biji bawang besar (potong dadu )
- Segenggam udang geragau kering (basuh & toskan)
- Sedikit isi ayam (optional)
- Sedikit garam
Cara membuat inti:
- Panaskan 1/2 senduk minyak.
- Tumiskan bawang dan udang geragau.
- Masukkan isi ayam. Bila isi ayam sudah empuk, masukkan semua sayuran, tauhu dan sedikit garam.
- Kacau hingga agak layu. Tutup api. Toskan untuk buang air dalam sayuran dan biarkan benar-benar sejuk.
- Ambil sekeping kulit popia, masukkan inti, gulung dan sapu bancuhan tepung gandum pada hujung gulungan (jangan gulung ketat).
- Buat hingga siap. Goreng guna api perlahan hingga garing. Toskan, kemudia biarkan betul-betul sejuk.
Bahan-bahan sira:
- 20-25 tangkai cili kering
- 3 ulas bawang putih
- 1/2 cawan minyak masak
- 1/2 cawan air
(Kisar bahan di atas hingga betul2 halus)
- 3 sdb sos cili
- 3 senduk gula pasir
- Sedikit bijan yang digoreng tanpa minyak (jika suka)
Cara-cara membuat sira:
- Satukan bahan kisar dalam kuali.
- Masak guna api sederhana hingga benar-benar masak.
- Masukkan gula pasir dan sos cili.
- Masak hingga berbuih dan pekat. Tutup api.
- Masukkan bijan yang sudah di goreng tanpa minyak ke dalam sos sira.
- Biarkan sos sira betul-betul sejuk. Kemudian masukkan popia dan kacau hingga rata.
- Pastikan sambal menyaluti popia (waktu menyira jangan buka api dapur).
Nota tambahan:
- Gulung jangan terlampau ketat.
- Goreng hingga betul-betul garing. Biar nampak keperangan.
- Popia kena betul-betul sejuk dan bahan sira pun kena betul-betul sejuk, baru gaul.
- Untuk kekalkan keranggupan, boleh juga tabur sedikit bawang goreng pada popia yang sudah siap disira.
- Sos popia juga boleh disimpan dalam bekas bertutup jika tak nak sira.
Selamat mencuba tip popia sira rangup hingga ke malam.
Sumber: Mariana Zainal
Baca juga: Popia Basah ‘Step By Step’ Yang Lengkap, Gerenti Keluarga Berhantu Nak Makan!