Selalunya kita buat mee goreng biasa di rumah, jadi kali ini kami kongsikan cara buat Mee Kicap Chinese Style yang cukup terangkat pula. Makan sekali, pasti mengidam lagi.
Mee Kicap merupakan salah satu hidangan popular di restoran makanan Cina. Tapi dengan resipi ini, anda boleh buat sendiri di rumah pada bila-bila masa.
Hafiz MemeySedak telah kongsikan resipi Mee Kicap Chinese Style di Facebook yang sangat mudah. Senang cerita, pemula pun boleh buat dengan sedap. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuah Asam Laksa Chinese Style, Wajib Ada Daun ‘Ini’ Baru Naik Aromanya
RESIPI MEE KICAP CHINESE STYLE
Bahan-bahan:
- Mee (saya guna Non Fried Cintan Noodle)
- Minyak bijan
- Bijan
Bahan-bahan untuk sos kicap:
- Halia
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap cair
- 2 sudu besar kicap pekat
- 1 hingga 2 sudu besar kicap lemak manis
Bahan-bahan untuk minyak bawang putih:
- 6 hingga 7 ulas bawang putih
- Minyak (agak-agak lebih sedikit dari bawang)
Cara-cara menyediakan sos kicap:
1. Mula-mula, tumis halia bersama kicap pekat, sos tiram, kicap cair dan kicap lemak manis.
2. Selepas itu, campurkan sedikit air.
3. Setelah nampak agak-agak sudah likat, ketepikan terlebih dahulu.
Cara-cara menyediakan minyak bawang putih:
1. Mula-mula, cincang bawang putih sampai halus.
2. Selepas itu, panaskan minyak.
3. Tumis bawang putih sampai kekuningan, kemudian terus tutup api.
Cara-cara menyediakan mee:
1. Mula-mula, masukkan sos kicap yang sudah dibancuh tadi ke dalam bekas.
2. Kemudian, masukkan mee bersama 2 hingga 3 sudu minyak bawang putih serta sedikit minyak bijan.
3. Selepas itu, gaul sampai sebati.
4. Akhir sekali, boleh hidangkan dalam mangkuk dan hias dengan bijan. Siap untuk dinikmati!
Selain mee kuning, anda boleh gunakan mee kering seperti yee mee, mee kolok atau mee segera mengikut selera masing-masing. Tak kisahlah guna mee jenis apa sekalipun, Mee Kicap Chinese Style ini tetap sedap dimakan bersama keluarga di rumah.
Selamat mencuba!
Sumber: Hafiz MemeySedak
Baca juga: Kuey Teow Sup Chinese Style, Punyalah Sedap Sampai Hirup Ke Titisan Terakhir