Mudah saja cara masak rendang ayam, tapi ramai yang tidak berjaya kerana ayam menjadi hancur.
Jangan risau, rupanya rendang hancur lebih sedap sehingga ada yang sengaja memasaknya. Ia juga dikatakan lebih sedap untuk dimakan dengan ketupat dan lemang.
Maksud ‘hancur’ di sini bukanlah hancur lebur, sekadar hancur-hancur manja sahaja. Oleh itu, jika ada yang mahu mencuba, mari ikuti resipi lengkap di bawah.
Baca juga: Telur Pun Sedap Dibuat Rendang, Sesuai Makan Dengan Nasi Lemak!
CARA MASAK RENDANG AYAM VERSI HANCUR MANJA
Bahan-bahan kisar:
- Bawang besar 3-4 labu
- Bawang putih 5 ulas
- Cili hidup merah + hijau 5 tangkai
- Lengkuas, halia, kunyit hidup 1 inci
- Serai 2 batang diracik
- Buah keras 2 biji
Bahan-bahan lain:
- Rempah 3 beradik (kayu manis, pelaga, lawang)
- Cili kisar 2 senduk
- Serbuk kari ayam (saya org kedah, rempah o berpisah tiada) *sebarang jenama pun boleh ikut selera masing-masing
- Kerisik segar 3 peket kecil atau 300gram
- Santan segar 1 cawan
- Gula kabong /nisan (rahsia saya)
- Garam, serbuk hilal (perasa)
- Daun kunyit diracik halus
- Daun pandan
Cara memasak:
1. Tumis rempah 3 beradik, daun pandan dan masuk bahan kisar, tumis sampai bau wangi. Wajib garing dan naik bau wangi.
2. Kemudian baru masukkan cili kisar dan rempah kari yang telah dicampur air. Tumis dengan api sederhana sehingga betul-betul pecah minyak. Perlahankan api.
3. Seterusnya, masukkan kerisik, ayam seekor dan santan. Masak sampai memekat. Pastikan api perlahan.
4. Masukkan garam, gula kabong dan serbuk perasa. Ayam bahagian isi akan auto hancur. Bahagian bertulang pula akan kekal cantik.
5. Bila dah dapat tekstur pekat, boleh tutup api dan taburkan daun kunyit. Boleh letakkan juga daun limau purut jika suka.
6. Sedia untuk dihidangkan bersama ketupat dan lemang. Selamat mencuba!
Tips: Kalau tak suka hancur, goreng ayam separuh masak terlebih dahulu.
Kredit resipi dan gambar: Fateema Azzahra
Baca juga: Resipi Rendang Ayam Cili Hijau Pedas ‘Menyengat’, Sangat Membuka Selera!