Alangkah seronoknya jika dapat makan lempeng yang sedap. Biasanya dibuat dengan tepung, tapi kali ini kami nak ajar anda cara buat lempeng guna roti Gardenia pula.
Lempeng adalah sejenis hidangan snek yang popular di kalangan orang Melayu dengan menggunakan tepung gandum dan air serta teksturnya lebih kurang sama seperti pancake.
Selalunya lempeng dihidangkan sebagai sarapan atau minum petang yang lazat. Jika pulang ke kampung, pasti anda pernah melihat ibu atau nenek membuatnya di rumah.
Kami baru saja menjumpai cara buat lempeng yang sangat menarik oleh Fizan Rahman di Facebook. Paling kreatif, dia menggunakan roti Gardenia untuk membuatnya. Jom kita cuba!
Baca juga: Lempeng Pisang Kelapa, Orang Dulu Guna Pisang Jenis ‘Ini’ Baru Sedap
CARA BUAT LEMPENG GUNA ROTI GARDENIA
Bahan-bahan:
- 4 keping roti Gardenia
- 1 biji telur
- 2 sudu tepung gandum
- Secubit garam
- 1 cawan air
Cara-cara buat lempeng:
1. Mula-mula, potong roti Gardenia dalam bentuk kecil-kecil supaya mudah dikisar nanti.
2. Kisar potongan roti Gardenia bersama telur, tepung gandum, garam dan air sehingga sebati, kemudian pindahkan ke dalam bekas lain.
3. Selepas itu, panaskan kuali dan sapu sedikit minyak (lebih bagus jika pakai kuali non-stick).
4. Kemudian, tuang 2 senduk adunan dan ratakan (jika suka bentuk kecil untuk anak-anak makan, tuang satu senduk saja).
5. Akhir sekali, masak sampai garing di kedua-dua belah bahagian dan angkat. Buat sampai adunan habis. Siap untuk dinikmati!
Setelah siap mencuba cara buat lempeng ini, bolehlah makan dengan cicahan sambal tumis, asam pedas atau kari. Apabila makan, rasa seperti lempeng yang asli.
Selain itu, anda boleh mengolah resipi lempeng ini dengan menambah potongan pisang atau kelapa parut ke dalam adunan sebelum mengisarnya dan rasanya akan menjadi manis.
Jika ada lebihan roti Gardenia di rumah yang hampir luput, bolehlah guna resipi ini. Bukan setakat jimat masa, malah anda telah menghasilkan hidangan ringkas tapi sedap tak terkata.
Selamat mencuba!
Sumber: Fizan Rahman
Baca juga: Cucur Roti Gardenia, Guna 3 Langkah Saja Tapi Lembutnya Luar Biasa