Dalam banyak-banyak resipi apam, ramai yang suka buat Apam Solo sukatan cawan di rumah. Bukan saja caranya mudah, malah bahannya juga tak berapa banyak digunakan.
Mungkin ramai yang tak pernah dengar nama kuih tradisional ini. Sebenarnya, Apam Solo lebih kurang sama seperti apam biasa cuma di dalamnya ada inti.
Sesetengah orang suka makan Apam Solo ini sebagai hidangan sarapan, tapi tak kurang juga ada yang menikmatinya pada waktu petang. Jika ada teh O sekali, lebih bertambah nikmatnya.
Ernie Yaui EY telah kongsikan di Facebook tentang resipi Apam Solo sukatan cawan yang dipelajarinya dari YouTube. Jom kita cuba!
Baca juga: Apam Pisang Sukatan Cawan, Pakai Blender Saja Tapi Gebunya Luar Biasa
RESIPI APAM SOLO SUKATAN CAWAN
Bahan-bahan:
- 1½ cawan tepung gandum
- ½ cawan tepung beras
- Secubit garam
- ½ cawan gula (boleh kurangkan jika tak suka manis atau inti sudah manis)
- 1 sudu makan yis
- 1½ cawan air biasa atau air pandan
- ¼ cawan minyak masak
- Inti (ikut suka)
- Pewarna (ikut suka)
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, campurkan tepung gandum, tepung beras, garam, gula, yis, air biasa atau air pandan, minyak masak, inti dan pewarna.
2. Selepas itu, perap bahan adunan selama 1 jam.
3. Akhir sekali, masukkan adunan ke dalam acuan dan kukus sehingga masak. Siap untuk dinikmati!
Bagi menjadikan Apam Solo kelihatan lebih menarik, anda boleh gunakan pelbagai bentuk acuan kreatif dan pasti ramai terpegun melihat hasilnya yang cantik serta gebu dimakan.
Paling mengagumkan, ramai peniaga kuih yang telah jadikan Apam Solo sebagai salah satu bahan jualan kerana kosnya tak begitu banyak.
Antara inti yang boleh digunakan dalam resipi Apam Solo sukatan cawan ini ialah kelapa manis dan kacang merah. Senang cerita, ia boleh dibuat mengikut citarasa tersendiri.
Resipi ini sesuai untuk orang yang baru belajar buat kuih di rumah. Setelah siap, pasti anda makan sampai tak ingat orang belakang.
Selamat mencuba!
Sumber: Ernie Yaui EY
Baca juga: Kuih Apam Mekar Dengan 5 Bahan, Lembut Dan Kembang Gebu Hasilnya