Tau Fu Fah, juga dikenali sebagai Douhua atau Tauhu Putih, adalah sejenis makanan penutup Tionghoa yang terbuat dari kacang soya.
Ia adalah hidangan yang lembut dan kenyal yang biasanya disajikan dengan air gula. Tau Fu Fah boleh dinikmati secara suam atau sejuk.
Baca juga: Boba Kampung Ikut Resipi Thai Dessert, Warna-warni Cantik Kejadiannya
Sesetengah orang suka menghidangkannya terus selepas dimasak, manakala yang lain lebih suka menyimpannya di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.
Selain daripada air gula, pencuci mulut ini juga boleh dihidangkan dengan pelbagai perisa lain, seperti serbuk kacang merah, serbuk kacang hitam, atau bebola biji selasih.
RESIPI TAU FU FAH GUNA 5 BAHAN
Bahan-bahan:
- 300g kacang soya
- 2.5 liter air
- 2 helai daun pandan
- 2 sudu tepung jagung
- 1 sudu teh serbuk GDL/sekko
Bahan-bahan air gula:
- Secawan gula
- 2 cawan air
- Sehelai daun pandan
Cara-cara penyediaan:
1. Rendam kacang soya 5 hingga 6 jam.
2. Kisar kacang soya tersebut menggunakan pengisar makanan. Kemudian, tapis hasil kisaran menggunakan penapis (guna penapis teh tarik pun boleh)
3. Ambil satu bekas atau periuk, dan masukkan 2 cawan air soya yang dikisar tadi, lepas tu masukkan 2 sudu tepung jagung dan 1 sudu teh serbuk GDL.
(INGAT: Sediakan 2 periuk yang berasingan, 1 untuk masak air soya, satu lagi tempat untuk mengeraskan tau fu fah)
4. Air soya yang banyak tadi dimasak bersama 2 helai pandan dalam periuk dengan api yang besar, dan digaul sentiasa. MESTI digaul sentiasa supaya air kacang soya tak berkerak.
5. Kacau sehingga ia membuih ke atas dan tutup api.
6. Kacau bekas yang berisi air soya, serbuk GDL dan tepung jagung tadi supaya sebati.
7. Lepas itu, tuangkan semua air soya panas ke dalam bekas berisi campuran tu. JANGAN DIKACAU!
8. Lepas itu, buang buih yang terdapat di atas air soya yang bakal menjadi tau fu fah itu. Tunggu selama sejam untuk tau fu fah mengeras.
9. Sambil menunggu ia mengeras, masak air gula. Caranya, Didihkan secawan gula pasir bersama 2 cawan air (masukkan sehelai daun pandan yang disimpul). Boleh juga gunakan gula merah atau gula melaka.
10. Boleh dihidangkan bersama air gula. Siap!
Selamat mencuba.
Resipi: Lia Amelia
Baca juga: Resipi Chocolate Truffles Style Mr. Ali, Terasa Gourmet Buat Dessert Macam Ini