Kuih lapis labu kuning antara kuih tradisional yang menarik untuk dicuba, lebih-lebih lagi buat penggemar kuih bertekstur lembut dan kenyal. Gabungan labu yang dikukus bersama santan menghasilkan rasa lemak manis yang cukup menyelerakan.

Resipi kuih lapis labu ini tidak menggunakan tepung gandum. Sebaliknya, adunan dibuat menggunakan tepung beras dan tepung ubi untuk mendapatkan tekstur kuih yang lembut serta kenyal apabila digigit.

Selain rasanya yang sedap, warna kuning semula jadi daripada labu juga membuatkan kuih ini nampak cantik apabila dipotong. Jom cuba resipi perkongsian ini, sesuai sangat dihidangkan untuk minum petang bersama keluarga.

Baca juga: Kuih Dadar Gulung Lembut & Cantik, Rupanya Ini Petua Mudah Buat Kulit Tak Berkedut

RESIPI KUIH LAPIS LABU KUNING

kuih lapis labu

Bahan adunan asas:

  • 1 ½ cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung ubi
  • 3 cawan santan
  • ½ cawan gula
  • 1 sudu kecil garam

Bahan adunan kuning:

  • 1 cawan labu yang siap dikukus dan dilenyek

Cara-cara penyediaan:

  1. Satukan tepung beras, tepung ubi, santan, gula dan garam di dalam bekas. Kacau sehingga sebati dan tidak berketul.
  2. Tapis adunan asas supaya teksturnya lebih halus. Bahagikan adunan kepada dua bahagian sama banyak.
  3. Ambil satu bahagian adunan dan ketepikan sebagai adunan putih.
  4. Masukkan labu yang telah dikukus dan dilenyek ke dalam satu lagi bahagian adunan. Kisar sehingga halus dan sebati, kemudian tapis.
  5. Panaskan pengukus dan sapukan sedikit minyak pada loyang bersaiz 7 x 7 inci atau loyang bulat.
  6. Tuangkan 120 ml adunan putih ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit sehingga lapisan mula mengeras.
  7. Kemudian, tuangkan 120 ml adunan kuning di atas lapisan putih tadi. Kukus lagi selama 5 minit.
  8. Ulang proses yang sama secara berselang-seli antara adunan putih dan kuning sehingga kedua-dua adunan habis.
  9. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 hingga 20 minit supaya keseluruhan kuih masak dengan sempurna.
  10. Setelah masak, keluarkan loyang daripada pengukus dan biarkan kuih sejuk sepenuhnya sebelum dipotong.

Tip: Jangan potong kuih ketika masih panas kerana teksturnya masih lembut dan mudah melekat pada pisau. Tunggu sehingga betul-betul sejuk supaya setiap lapisan lebih kemas dan cantik apabila dipotong.

Sumber: Ezra Wati

Baca juga: Resipi Kuih Apam Tokyo 2 Lapisan, Bahagian Bawah Kenyal & Atas Lembut Berlemak

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending