Resipi ayam kicap sedap ini sesuai untuk sesiapa yang suka lauk ayam dengan kuah pekat melikat dan cukup rasa. Ayam yang digoreng terlebih dahulu kemudian dimasak bersama kicap, sos tiram dan bahan tumisan menghasilkan lauk yang cukup menyelerakan.

Rahsia untuk mendapatkan kuah kicap yang pekat dan cantik bersalut pada ayam adalah dengan menggunakan sos tiram secukupnya serta merenehkan kuah sehingga pekat dan terbit minyak. Penggunaan cili kering pula memberikan rasa pedas yang menaikkan lagi keenakan lauk ini.

Menu ayam kicap ini juga memang sesuai dijadikan menu makan tengah hari atau malam bersama keluarga. Curahkan kuahnya ke atas nasi putih yang masih panas, memang boleh bertambah nasi dibuatnya!

Baca juga: 12 Resipi Perapan Ayam Yang Sedap & Tak Bosan, Dari Garlic Parmesan Hingga Buffalo Ranch!

RESEPI AYAM KICAP SEDAP & PEKAT MELIKAT

ayam kicap sedap

Bahan-bahan:

  • Ayam (dipotong kecil)
  • Cili kering
  • Bawang besar atau bawang ohlland (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Sos tiram
  • Kicap manis
  • Air asam jawa
  • Kiub pati ayam
  • Minyak masak untuk menggoreng dan menumis

Nota: Kuantiti bahan boleh disesuaikan mengikut jumlah ayam dan cita rasa masing-masing kerana sukatan asal tidak dinyatakan.

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga masak. Angkat dan ketepikan. Elakkan menggoreng ayam terlalu garing supaya isinya tidak kering. Potong ayam dalam saiz kecil agar lebih mudah disaluti kuah kicap.
  2. Gunakan minyak secukupnya untuk menumis cili kering sehingga garing.
  3. Masukkan bawang besar atau bawang Holland, bawang putih dan halia. Tumis sehingga naik bau dan bahan menjadi sedikit layu.
  4. Masukkan sos tiram, kicap manis, air asam jawa dan kiub pati ayam. Kacau sehingga semua bahan sebati. Tambahkan sos tiram secukupnya untuk menghasilkan kuah yang lebih pekat dan berperisa.
  5. Apabila kuah mula mendidih, masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga setiap ketulan ayam bersalut rata dengan kuah kicap.
  6. Renehkan seketika sehingga kuah menjadi pekat, melekat pada ayam dan minyak mula terbit. Angkat dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi putih panas.

Tip: Tidak perlu terus menambah garam atau perasa tambahan kerana kicap, sos tiram dan kiub pati ayam sudah memberikan rasa masin serta cukup rasa pada kuah. Jika perlu, sesuaikan perasa mengikut selera sebelum dihidangkan.

Sumber: Izatie Khaidir

Baca juga: Rupanya Ayam Pun Sedap Dibuat Kengsom, Kuah Masam Pedas Memang Ngam Dengan Nasi Panas!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending