Murtabak crackers boleh jadi pilihan menarik kalau nak cuba hidangan yang lain daripada biasa. Menggunakan cream crackers sebagai lapisan, hidangan ini diselang-selikan dengan inti daging berempah, telur, keju mozzarella serta bahan pelengkap lain sebelum dibakar hingga masak.

Intinya pula dimasak bersama bawang, halia, lobak merah dan serbuk kari daging sehingga cukup beraroma. Bila digabungkan dengan lapisan crackers yang lembut dan keju yang cair, hasilnya memang nampak macam murtabak versi yang lebih kreatif.

Resipi ini juga sesuai dijadikan bekal makan tengah hari atau hidangan minum petang untuk keluarga. Selepas dikeluarkan dari oven, pastikan murtabak disejukkan terlebih dahulu supaya lebih mudah dipotong dan lapisannya kekal cantik.

Baca juga: Resipi Mi Bandung Mudah Cara ‘Orang Lama’, Kuahnya Pekat Sampai Licin Mangkuk!

RESEPI MURTABAK CRACKERS

murtabak crackers

Bahan inti:

  • 400 gram daging cincang
  • 2 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • 3 ulas bawang putih (dicincang)
  • 1 inci halia (ditumbuk)
  • 2 biji lobak merah saiz sederhana (dipotong dadu)
  • 3 sudu besar serbuk kari daging
  • 1½ sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil gula

Bahan celupan dan lapisan:

  • 200 ml santan + susu segar
  • 27 keping biskut cream crackers
  • 6 biji telur
  • 1 mangkuk keju mozzarella
  • Daun sup (dicincang)
  • Cili merah (dicincang)
  • Bawang goreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, halia serta lobak merah sehingga wangi.
  2. Masukkan serbuk kari daging. Tumis sehingga naik bau.
  3. Tuangkan sedikit air dan teruskan menumis sehingga serbuk kari masak, garing dan pecah minyak.
  4. Masukkan daging cincang, garam dan gula. Masak sehingga daging masak sepenuhnya dan kuahnya mengering. Tutup api dan biarkan inti sejuk.
  5. Sediakan loyang dan alas dengan aluminium foil atau kertas parchment.
  6. Campurkan santan dan susu segar dengan telur yang telah dipukul.
  7. Celup cream crackers sehingga basah, tetapi jangan terlalu lama kerana biskut mudah hancur.
  8. Susun cream crackers yang telah dicelup sebagai lapisan pertama di dalam loyang.
  9. Letakkan separuh daripada inti daging dan ratakan.
  10. Taburkan daun sup, cili merah, sedikit bawang goreng dan keju mozzarella.
  11. Tuangkan separuh daripada campuran telur di atas lapisan tersebut.
  12. Celup lagi cream crackers dan susun sebagai lapisan seterusnya sehingga menutupi inti daging.
  13. Masukkan baki inti daging dan ratakan.
  14. Taburkan lagi daun sup, cili merah, bawang goreng dan sedikit keju mozzarella.
  15. Celup baki cream crackers dan susun sebagai lapisan penutup.
  16. Tuangkan lebihan campuran telur dan santan ke atas lapisan terakhir. Taburkan sedikit lagi keju mozzarella.
  17. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 150°C selama 50 minit hingga 1 jam, atau sehingga murtabak masak.
  18. Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong supaya lapisannya lebih kemas.

Sumber: Ida Adlina Salleh

Baca juga: Resipi Bakso Versi Mudah, Teknik Tumis 2 Kali Ini Buat Kuahnya Lebih Sedap & Beraroma

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending