Resepi kam heong udang antara menu yang memang menggoda selera. Udang yang digoreng sekejap kemudian digaul pula dengan tumisan bawang, cili padi, daun kari dan rempah membuatkan aromanya memang semerbak satu dapur.

Kalau selalu masak udang buttermilk, boleh cuba pula menu ini untuk ubah selera. Gabungan rasa pedas, manis dan masin dengan rempah kari yang harum memang sesuai dimakan bersama nasi putih panas.

Paling penting, tak perlu masa yang lama pun untuk sediakan hidangan ini. Cuma pastikan udang tidak digoreng terlalu lama supaya isinya kekal lembut dan tidak liat. Jom cuba resepi udang masak kam heong ini di rumah!

Baca juga: Tips Sambal Udang Sedap, Rupanya Goreng Udang Dulu Buat Sambal Kekal Pekat & Cantik

RESEPI KAM HEONG UDANG

Bahan-bahan:

  • Udang secukupnya
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 2 biji bawang merah (dihiris)
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 inci halia (dihiris halus)
  • 6-7 biji cili padi (dipotong)
  • 3 sudu makan serbuk kari
  • 1 sudu makan serbuk kunyit
  • Daun kari secukupnya
  • 2 sudu makan sos tiram
  • 2 sudu makan kicap pekat manis
  • 2 sudu makan sos cili
  • 1 sudu makan tepung jagung
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara-cara penyediaan:

  1. Gaulkan udang dengan serbuk kunyit, serbuk kari, tepung jagung dan sedikit garam. Panaskan minyak, kemudian goreng udang sekejap sahaja. Jangan terlalu lama supaya udang tidak menjadi liat. Angkat dan ketepikan.
  2. Kurangkan minyak dalam kuali dan gunakan minyak yang sama untuk menumis. Masukkan bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, daun kari dan cili padi. Tumis sehingga bahan-bahan menjadi garing dan naik bau.
  3. Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air untuk dijadikan pes. Kacau dan masak sehingga rempah betul-betul masak serta pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram, sos cili dan kicap pekat manis. Gaul hingga sebati. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat, kemudian perasakan dengan garam secukup rasa.
  5. Masukkan semula udang yang telah digoreng tadi. Gaul sehingga semua udang bersalut dengan kuah kam heong. Masak sekejap sahaja sebelum tutup api.
  6. Udang masak kam heong siap untuk dinikmati. Hidangkan panas-panas bersama nasi putih.

Sumber: Saida Wati Nordin

Baca juga: Resipi Masak Lemak Udang Cara Tumis Santan, Kuah Pekat Berlemak Buat Ramai Terliur

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending