Kek marble kopi antara pilihan menarik untuk hidangan minum petang. Gabungan adunan kek biasa dengan perisa kopi dan coklat menghasilkan corak berbelang yang cantik apabila dipotong, sekali gus membuatkan kek ini nampak lebih menyelerakan.

Kalau suka kek buatan sendiri yang menggunakan bahan mudah didapati, resipi kek marble kopi kampung ini boleh dicuba. Penggunaan mentega menjadikan kek lebih beraroma, manakala bancuhan kopi memberikan rasa kopi yang sesuai dipadankan dengan serbuk koko.

Lebih menarik, adunan kek ini tidak terlalu rumit untuk disediakan. Anda hanya perlu menyediakan dua bahagian adunan, satu adunan biasa dan satu lagi dicampur kopi serta serbuk koko sebelum diselang-selikan di dalam loyang. Jom cuba resipi ini untuk dinikmati bersama secawan teh atau kopi panas!

Baca juga: Jom Buat Kek Batik Horlick Viral Yang ‘Confirm’ Jadi Kegilaan Ramai, Bukan Versi Coklat Biasa!

RESIPI KEK MARBLE KOPI

kek marble kopi

Bahan-bahan:

  • 1 cawan mentega
  • 3/4 cawan gula kastor (boleh kurangkan jika tidak suka manis)
  • 1 sudu besar ovalette
  • 4 biji telur gred A
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 2 sudu besar susu pekat
  • 2 cawan tepung kek atau tepung yang telah dicampur serbuk penaik, diayak
  • 1 sudu teh serbuk kopi 3-in-1, dibancuh dengan sedikit air panas
  • 1 sudu makan serbuk koko
  • Emulco coklat (jika suka, untuk menyerlahkan warna)

Cara-cara penyediaan:

  1. Pukul mentega, gula kastor dan ovalette menggunakan pengadun sehingga adunan kembang dan berwarna pucat.
  2. Masukkan telur satu demi satu sambil terus memutar adunan sehingga sebati.
  3. Masukkan esen vanila dan susu pekat. Pukul lagi sehingga semua bahan bercampur rata.
  4. Tutup pengadun, kemudian masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit. Gaul menggunakan spatula dengan kaedah kaup balik sehingga adunan sebati.
  5. Bahagikan adunan kepada dua bahagian yang sama banyak. Biarkan satu bahagian sebagai adunan asal.
  6. Campurkan serbuk koko dan bancuhan kopi ke dalam satu lagi bahagian adunan. Gaul sehingga sebati. Jika mahu warna yang lebih menyerlah, boleh tambahkan sedikit emulco coklat.
  7. Sediakan loyang bulat bersaiz 7 inci. Alas bahagian bawah loyang dengan kertas pembakar dan sapukan sedikit mentega pada permukaannya.
  8. Masukkan kedua-dua adunan ke dalam loyang secara berselang-seli untuk menghasilkan corak marble. Jika suka, lorekkan sedikit permukaan adunan menggunakan lidi untuk mendapatkan corak yang lebih menarik.
  9. Bakar pada suhu 150°C selama kira-kira 50 minit atau sehingga kek masak. Tempoh membakar bergantung pada jenis dan prestasi ketuhar masing-masing.
  10. Cucuk bahagian tengah kek menggunakan lidi untuk memeriksa kematangannya. Jika lidi keluar bersih tanpa adunan basah, kek sudah boleh dikeluarkan dari ketuhar.
  11. Biarkan kek sejuk seketika sebelum dikeluarkan daripada loyang dan dipotong. Kek marble kopi kampung sedia dinikmati bersama minuman kegemaran!

Tip: Pastikan tepung diayak terlebih dahulu supaya mudah digaul ke dalam adunan. Ketika memasukkan tepung, gunakan kaedah kaup balik dan elakkan menggaul terlalu lama supaya tekstur kek tidak menjadi padat.

Sumber: Nor Misnor

Baca juga: Rahsia Kek Pisang Marble Lembut, Gebu & Moist, Cantik Coraknya Bila Dipotong!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending