
Kalau selama ini ingat resepi kimchi mesti kena masak pes terlebih dahulu, rupanya ada cara yang lebih mudah. Resipi yang dikongsikan ini hanya memerlukan bahan-bahan dikisar dan digaul bersama kubis serta sayur-sayuran sebelum diperam.
Menurut perkongsian tersebut, resipi ini sudah dibuat berkali-kali kerana rasanya sangat menepati selera. Malah, resipi asal dikatakan dikongsikan oleh seorang wanita Korea yang rajin berkongsi video masakan Korea bersama ibunya.
Menariknya, cara ini tidak memerlukan pes kimchi dimasak atas dapur. Nasi sejuk yang digunakan dalam bahan kisaran pula membantu menghasilkan pes untuk proses perapan. Bagi yang suka pedas, jumlah gochugaru boleh disesuaikan mengikut selera.
Baca juga: Resepi Tteokbokki Simple, Tak Perlu Beli Rice Cake Siap, Buat Sendiri Lagi Puas Makan
RESEPI KIMCHI MUDAH

Bahan-bahan:
- 1 biji kubis napa atau kubis panjang
- Garam kasar secukupnya
- 2 senduk nasi sejuk
- 1 biji bawang holland
- 2 sudu besar cencaluk
- Bawang putih
- Halia
- Lobak merah
- Lobak putih
- Daun bawang
- Gochugaru
- Sos ikan atau sos sotong
- Buah pear atau epal
- Pemanis rendah kalori, jika tidak menggunakan buah
Cara-cara penyediaan:
- Koyakkan kubis napa selai demi selai dan cuci sehingga bersih. Kubis juga boleh dipotong kecil terlebih dahulu.
- Susun kubis dalam bekas dan taburkan garam kasar secara berlapis. Masukkan air sehingga hampir paras kubis. Rendam selama 2 hingga 3 jam supaya air daripada kubis keluar.
- Selepas itu, bilas kubis dengan air bersih untuk membuang lebihan garam. Toskan dan perah kubis supaya lebihan air keluar. Masukkan ke dalam bekas besar.
- Masukkan 2 senduk nasi sejuk, 1 biji bawang holland, bawang putih dan halia ke dalam pengisar. Kisar sehingga menjadi pes.
- Jika ada buah pear atau epal, boleh masukkan sekali ke dalam pengisar untuk memberikan rasa manis semula jadi. Jika tiada, gunakan sedikit pemanis rendah kalori mengikut citarasa.
- Potong lobak merah, lobak putih dan daun bawang. Masukkan semuanya ke dalam bekas berisi kubis.
- Tuangkan bahan yang telah dikisar tadi ke dalam bekas.
- Masukkan 2 sudu besar cencaluk dan sos ikan atau sos sotong secukupnya.
- Tambahkan gochugaru mengikut tahap kepedasan yang disukai. Gochugaru merupakan antara bahan penting untuk memberikan rasa pedas dan warna merah pada kimchi.
- Gaulkan semua bahan sehingga kubis dan sayur-sayuran disalut rata dengan pes.
- Masukkan kimchi ke dalam bekas bersih. Biarkan pada suhu bilik semalaman untuk proses perapan.
- Keesokan harinya, buka penutup bekas seketika untuk melepaskan gas yang terhasil. Tekan-tekan kimchi supaya bahan kembali padat, kemudian simpan di dalam peti sejuk.
Kimchi ini boleh terus dinikmati atau dibiarkan lebih lama dalam peti sejuk mengikut tahap kemasaman yang disukai. Untuk rasa yang lebih sebati, kimchi biasanya akan menjadi semakin masam selepas beberapa ketika diperam.
Sumber: Facebook
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














