Nak hasilkan tomyam yang rasanya masam pedas, cukup rasa dan beraroma seperti di restoran Thai? Ada beberapa tips tomyam sedap yang boleh dicuba di rumah, termasuk penggunaan bahan istimewa yang mungkin ramai tidak terfikir untuk masukkan ke dalam kuah.
Menerusi perkongsian Nor Hafizah Ismail di Facebook, antara rahsia tomyam lebih menyelerakan ialah penggunaan sedikit susu pekat dan sos ikan. Selain itu, akar ketumbar, serai dan lengkuas juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan aroma kuah yang lebih harum.
Baca juga: Muruku Rangup Dan Tak Mudah Lemau, Ini 5 Tip Penting Yang Ramai Tak Tahu!
Tomyam yang sedap memerlukan keseimbangan rasa masam, pedas, masin dan sedikit manis. Bukan sekadar menggunakan pes tomyam, cara menggabungkan bahan-bahan lain juga boleh mempengaruhi rasa akhir kuah.
Bagi yang ingin mendapatkan rasa seperti tomyam di kedai Thai, boleh cuba lima petua mudah yang dikongsikan ini.
1. Masukkan Sedikit Susu Pekat Dalam Kuah
Antara petua yang menarik perhatian ialah penggunaan susu pekat ketika memasak tomyam.
Menurut Nor Hafizah, masukkan sekitar setengah hingga satu sudu susu pekat bergantung pada kuantiti masakan. Bahan ini membantu memberikan sedikit rasa manis untuk mengimbangi rasa masam dan pedas dalam kuah.
Walau bagaimanapun, elakkan penggunaan terlalu banyak supaya kuah tidak menjadi terlampau manis.
2. Tambahkan Sos Ikan Untuk Rasa Lebih Padu
Jangan lupa masukkan sos ikan ketika menyediakan kuah tomyam. Bahan ini membantu memberikan rasa masin serta aroma tersendiri yang menjadikan hidangan lebih menyelerakan.
Masukkan sedikit demi sedikit dan sesuaikan dengan rasa kuah. Ini kerana sos ikan mempunyai rasa masin yang agak kuat, jadi penggunaannya perlu dikawal.
3. Perah Limau Ketika Hendak Makan
Nak rasa masam yang lebih segar? Sebaiknya perahkan limau nipis ketika tomyam sudah siap dimasak dan hendak dihidangkan.
Elakkan memasukkan perahan limau terlalu awal ketika kuah masih mendidih. Cara ini membantu mengelakkan rasa pahit yang boleh menjejaskan keenakan tomyam.
Selain itu, rasa masam daripada limau yang baru diperah juga menjadikan kuah lebih menyegarkan.
4. Gunakan Akar Ketumbar Untuk Naikkan Aroma
Jangan hanya gunakan daun ketumbar sebagai bahan taburan kerana bahagian akarnya juga boleh dimanfaatkan.
Caranya, bersihkan akar ketumbar dan ketuk sedikit sebelum dimasukkan ke dalam kuah. Biarkan ia mereneh bersama bahan-bahan lain supaya aromanya dapat keluar.
Apabila tomyam sudah siap, taburkan daun ketumbar dengan lebih banyak untuk memberikan bau harum yang menyelerakan.
5. Ketuk Serai Dan Lengkuas Sebelum Dimasukkan
Satu lagi petua yang tidak patut dilepaskan ialah mengetuk serai dan lengkuas sebelum dimasukkan ke dalam periuk.
Teknik ini membantu mengeluarkan aroma daripada kedua-dua bahan tersebut ketika dimasak.
Daun limau purut pula boleh dikoyakkan sedikit supaya aromanya lebih mudah keluar dan meresap ke dalam kuah.
Selain susu pekat, susu cair juga boleh digunakan untuk menghasilkan kuah tomyam yang lebih lemak dan sedikit berkrim.
Namun, menurut petua yang dikongsikan Nor Hafizah, susu cair perlu dimasukkan pada penghujung proses memasak, iaitu selepas api ditutup.
Cara ini membolehkan rasa lemak susu melengkapi kuah tanpa terlalu mendominasi rasa masam pedas tomyam.
Pastikan kuantitinya bersesuaian dengan jumlah kuah supaya rasa asli tomyam tetap terserlah.
Petua menghasilkan kuah tomyam yang sedap ini boleh digunakan untuk pelbagai pilihan hidangan, sama ada tomyam ayam mahupun tomyam seafood.
Jika gemarkan rasa kuah yang lebih berperisa, ayam boleh dijadikan pilihan. Bagi penggemar makanan laut pula, udang, sotong dan ikan boleh digabungkan mengikut selera.
Apa pun pilihan bahan utama, pastikan ia dimasak secukupnya supaya teksturnya kekal elok dan tidak terlalu keras.
Selepas ini, bolehlah cuba petua yang dikongsikan Nor Hafizah Ismail untuk menyediakan tomyam sendiri di rumah. Tak perlu selalu makan di kedai, hidangan tomyam panas-panas bersama nasi putih pun sudah cukup membuka selera!
Semoga bermanfaat!
Sumber: Nor Hafizah Ismail
Baca juga: Cara Hilangkan Bau Bawang Pada Tangan Selepas Memasak, Ini 5 Petua Mudah Yang Boleh Dicuba
Puluhan pasar raya di tujuh negara Eropah dilaporkan menjadi sasaran serangan siber yang menjejaskan sistem…
Sup rumpai laut merupakan hidangan berkuah yang sesuai dijadikan pilihan untuk makan malam. Rasanya yang…
Nak sediakan pencuci mulut yang sedap tanpa perlu menggunakan oven? Resipi puding roti tanpa oven…
Ikan bakar tomyam boleh dijadikan pilihan lauk untuk makan tengah hari atau makan malam bersama…
Teringin nak makan sizzling yee mee sedap seperti di restoran, tetapi tiada hotplate di rumah?…
Resepi ketam masak cili ini sesuai untuk penggemar makanan laut yang sukakan hidangan berkuah pekat…