Ubi kayu merupakan antara makanan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat kita. Selain direbus dan dimakan bersama dengan kelapa parut, ia juga sangat enak jika dibuat tapai ubi kayu. Bukan pulut sahaja boleh dibuat tapai, ubi ini juga turut boleh.
Sangat sedap apabila dibuat sedemikian rupa, lebih-lebih lagi jika digoreng selepas ianya dijadikan tapai. Namun untuk dijadikan tapai, ada tekniknya yang tersendiri agar rasanya manis dan sedap serta tidak masam.
Jom kita ikuti perkongsian dari Nor Aini Abd Rahman di bawah. Caranya sangat mudah dan kalau ikuti dengan betul pasti menjadi punya.
Cara Buat Tapai Ubi Kayu
Bahan-bahan:
- 1/2 kilo ubi kayu
- 1/2 biji ragi – sebesar duit 20 sen
Cara-cara penyediaannya:
- Kupas terlebih dahulu kulit ubi kayu dan potong ikut suka nak panjang mana. Ubi yang besar tu belah dua atau empat.
- Cuci bersih ubi tadi.
- Rebus ubi separuh empuk je.
- Kemudian toskan air dan biarkan sejuk.
- Haluskan ragi pakai penapis teh, tabur atas ubi kayu. Bagi semua bahagian kena ragi.
- Simpan dalam bekas tertutup, dua malam ubi dah jadi tapai.
Risau tapai jadi masam?
Di sebalik keenakan tapai ubi kayu yang kita nikmati itu, ramai tidak tahu proses menghasilkannya tidak semudah disangka.
Ada beberapa pantang larang yang diamalkan pembuatnya bagi menghasilkan tapai yang enak, manis dan bermutu.
Menurut Harian Metro, pelbagai pantang larang antaranya mulut jangan celupar dan mengeluarkan kata-kata tidak elok ketika menyediakan tapai.
Individu yang membuat tapai ubi juga tidak boleh dalam keadaan tertekan atau marah kerana kononnya boleh memberi kesan terhadap rasa tapai dihasilkan.
Kredit: Nor Aini Abd Rahman
Baca juga: Cara Buat Ubi Kayu Goreng Rangup & Lembut, ‘Ngam’ Betul Makan Sambil Hirup Kopi