Resipi sambal udang simple ini sesuai dijadikan pilihan kalau buntu memikirkan menu lauk untuk makan tengah hari atau malam. Dengan kuah sambal tumis yang cukup rasa, udang segar dan bawang Holland, memang boleh menaikkan selera seisi keluarga.

Cara penyediaannya juga tidak susah dan bahan-bahan yang digunakan pun mudah didapati di dapur. Udang hanya perlu digoreng sekejap sebelum dimasak bersama sambal tumis supaya rasanya lebih sebati dan tidak terlalu lama dimasak.

Menariknya, resipi sambal tumis ini bukan sahaja sesuai menggunakan udang. Kalau mahu pelbagaikan menu, boleh juga gunakan sotong, telur, ayam, ikan atau daging mengikut selera masing-masing.

Baca juga: Resipi Nasi Goreng Udang Selambak, Lagi Padu Bila Makan Dengan Dua Penambah Rasa INI!

RESIPI SAMBAL TUMIS UDANG SIMPLE

resipi sambal tumis udang

Bahan-bahan:

  • 15-20 ekor udang segar
  • 3 ulas bawang putih (dihiris)
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 3-4 senduk cili kering kisar
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar sos tomato
  • 3 sudu besar sos cili
  • 1 biji bawang holland (dipotong bulat)
  • Minyak masak secukupnya
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa secukupnya
  • Gula secukup rasa
  • Daun sup (jika suka)

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Goreng udang selama 2-3 minit, kemudian angkat dan ketepikan.
  2. Menggunakan kuali yang sama, tambah minyak masak jika perlu. Tumis bawang putih dan serai sehingga kekuningan dan naik bau.
  3. Masukkan cili kering kisar dan sedikit air. Tumis sehingga pecah minyak. Ulang proses ini dua hingga tiga kali supaya cili benar-benar masak.
  4. Seterusnya, masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili. Kacau sehingga sebati.
  5. Perasakan dengan garam, serbuk perasa dan sedikit gula. Tambahkan sedikit air jika sambal terlalu pekat. Kacau dan biarkan sehingga sambal masak.
  6. Masukkan udang yang telah digoreng tadi bersama bawang holland. Gaul sehingga semua bahan bersalut rata dengan sambal.
  7. Akhir sekali, taburkan daun sup jika suka. Kacau seketika sebelum tutup api.

Siap! Sambal udang ringkas ini memang sesuai dimakan bersama nasi putih panas. Kalau suka sambal yang lebih berkuah, boleh tambah jumlah air mengikut cita rasa masing-masing.

Sumber: SitiMaziah Aziz

Baca juga: Resipi Spageti Aglio Olio Udang, Tambah Sayur Berwarna-Warni Baru Lebih Menyelerakan!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending