Kuey teow Hong Kong antara menu yang menjadi pilihan ramai apabila teringin menikmati hidangan mi berkuah dengan aneka lauk dan sayuran. Gabungan kuetiau yang digoreng bersama telur sehingga garing, kemudian dicurahkan kuah pekat memang cukup menyelerakan.
Kalau selalu makan di kedai, kali ini boleh cuba buat sendiri di rumah. Resipi kuetiau Hong Kong ini dikongsikan oleh seorang pengguna yang pernah mendapatkan resipi asal daripada tukang masak sebuah kedai kegemarannya.
Apa yang menarik, kuetiau digoreng bersama telur terlebih dahulu sehingga menghasilkan tekstur sedikit rangup. Kemudian, kuah yang dimasak bersama ayam, sotong, udang dan pelbagai sayuran dituang ke atasnya. Memang sesuai dijadikan menu makan tengah hari atau makan malam seisi keluarga!
Baca juga: Resipi Kuetiau Ladna Seafood, Ada Satu Langkah Penting Untuk Dapatkan Kuah Pekat Elok!
RESIPI KUEY TEOW HONG KONG

Resipi ini untuk satu orang makan. Gandakan sukatan mengikut jumlah hidangan.
Bahan kuetiau:
- Kuetiau secukupnya
- 2 biji telur
- Minyak masak secukupnya
Bahan kuah:
- 1-2 ulas bawang putih (diketuk)
- 1-2 biji cili api (diketuk)
- Air secukupnya
- 1-2 sudu besar tepung jagung (dibancuh dengan sedikit air)
- 1/2 kiub pati ayam
- Isi ayam (dipotong dadu)
- Sotong (dipotong bulat)
- Udang (dibuang bahagian mulut)
- Sayur kailan
- Lobak merah
- Jagung muda (dibelah empat)
- Cendawan butang (dipotong)
- Kobis (dipotong)
- Lada sulah secukupnya
- Garam secukup rasa
- Ajinomoto (jika suka)
Bahan hiasan:
- Cili merah (dihiris)
- Limau
- Daun sup
- Cili potong
Cara-cara penyediaan:
- Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan pukul menggunakan garfu. Masukkan kuetiau dan gaul sehingga bersalut rata dengan telur.
- Panaskan minyak yang agak banyak dalam kuali, seperti ketika menggoreng ikan.
- Masukkan campuran kuetiau dan telur. Goreng sehingga masak dan garing mengikut citarasa. Angkat, toskan minyak dan ketepikan.
- Untuk menyediakan kuah, panaskan satu sudu minyak masak dalam kuali. Masukkan bawang putih yang diketuk dan tumis sehingga naik bau.
- Tuangkan air secukupnya mengikut jumlah hidangan. Masukkan isi ayam terlebih dahulu, diikuti sotong dan udang.
- Masukkan bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya kuah tidak berketul.
- Kemudian, masukkan sayur kailan, lobak merah, jagung muda, cendawan butang dan kobis.
- Perasakan dengan lada sulah, garam dan 1/2 kiub pati ayam. Tambahkan Ajinomoto jika suka.
- Masak sehingga lauk dan sayuran elok dimasak. Periksa kepekatan kuah. Jika terlalu cair, tambahkan sedikit lagi bancuhan tepung jagung. Jika terlalu pekat, tambah air.
- Letakkan kuetiau goreng telur tadi ke dalam pinggan hidangan. Tuangkan kuah bersama aneka lauk dan sayuran di atasnya.
- Akhir sekali, taburkan hirisan cili merah dan daun sup. Hidangkan bersama limau serta cili potong.
Tip: Jika suka kuetiau yang rangup, goreng sehingga telur betul-betul masak dan keemasan. Tuangkan kuah hanya ketika hendak makan supaya tekstur kuetiau tidak terlalu cepat lembik.
Sumber: Resepi Pembuka Selera
Baca juga: Resipi Kuetiau Theng ‘Padu’ Ala Thai, Petua Kuah Jernih Tapi Kaya Rasa!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

