Kuih dadar gulung memang antara kuih tradisional yang ramai suka, terutama apabila kulitnya lembut, nipis dan wangi pandan, kemudian diisi pula dengan kelapa gula Melaka yang manis. Memang sedap dinikmati ketika sarapan atau minum petang.

Perkongsian Safillah Alivi di Facebook ini turut mencuri perhatian kerana beliau berkongsi petua mudah untuk menghasilkan kulit yang licin dan cantik. Rupanya, cara menuang adunan ke dalam kuali juga penting untuk mendapatkan hasil yang lebih elok.

Baca juga: Roti Sandwich Telur Untuk Anak, Potong Dadu Semua Sayur Rupanya Buat Mereka Makan Licin

RESIPI KUIH DADAR GULUNG

kuih dadar gulung

Resipi ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati. Kulitnya dibuat daripada tepung gandum, telur dan pandan, manakala intinya pula menggunakan kelapa parut yang dimasak bersama gula Melaka.

Bahan-bahan:

Untuk kulit:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 1 sudu kecil pewarna hijau
  • 1 sudu kecil pes pandan
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu besar minyak masak
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk mengoles kuali

Untuk inti:

  • 1 biji kelapa parut putih
  • 1 cawan gula Melaka
  • 1 helai daun pandan, disimpul
  • Sedikit air

Cara-cara Penyediaan:

1. Bancuh adunan kulit

Masukkan tepung gandum, telur, pewarna hijau, pes pandan, garam dan minyak masak ke dalam bekas.

Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga adunan sebati dan mendapat kepekatan yang sesuai untuk membuat kulit.

2. Masak kulit

Panaskan kuali atau non-stick pan dan oleskan sedikit minyak.

Kemudian, angkat kuali daripada api, tuangkan sedikit adunan dan ratakan sehingga menjadi lapisan nipis.

Letakkan semula kuali di atas api dan masak sehingga kulit matang. Ulang proses yang sama sehingga semua adunan habis.

3. Buat inti kelapa

Masukkan gula Melaka, sedikit air dan daun pandan ke dalam kuali. Masak sehingga gula Melaka cair sepenuhnya.

4. Masukkan kelapa parut

Masukkan kelapa parut putih dan gaul sehingga sebati dengan gula Melaka.

Masak sehingga inti menjadi agak kering, kemudian tutup api.

5. Gulungkan kuih

Ambil sekeping kulit yang telah masak dan letakkan inti kelapa secukupnya di bahagian tengah.

Lipat bahagian tepi kulit dan gulungkan dengan kemas. Ulang sehingga semua kulit dan inti habis.

Tips:

  • Angkat kuali daripada api sebelum menuang adunan supaya adunan lebih mudah diratakan pada permukaan kuali.
  • Ratakan adunan dengan cepat selepas dituangkan supaya kulit menjadi nipis dan sekata.
  • Gunakan api yang sesuai supaya kulit tidak cepat kering atau mudah berkedut.
  • Jangan letak terlalu banyak adunan kerana kulit yang nipis lebih mudah digulung.
  • Masak inti sehingga agak kering supaya ia tidak terlalu berair ketika diletakkan atas kulit.
  • Jangan terlalu banyak inti ketika menggulung supaya kuih lebih kemas dan tidak mudah terbuka.

Dengan petua mudah ini, kulit kuih dadar gulung boleh jadi lebih licin, nipis dan cantik. Ditambah pula inti kelapa gula Melaka yang manis serta wangi pandan, memang sesuai dijadikan hidangan untuk seisi keluarga.

Selamat mencuba!

Sumber: Safillah Alivi

Baca juga: Cara Membuat Donat Lembut 2 Hari, Rupanya Ini Kunci Supaya Kekal Gebu

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending