Resipi ayam masak merah ini merupakan warisan yang menjadi kegemaran ramai, terutama untuk hidangan istimewa atau acara keluarga.
Resipi ini menggunakan bahan-bahan mudah tetapi menghasilkan sambal yang pekat dan kaya dengan rasa pedas, masam serta manis yang seimbang. Ayam yang disaluti sambal ini juga empuk dan tidak kering serta amat sesuai jika hanya meratah.
Jom tengok resipi lengkap yang dikongsikan oleh Cik Puan Noor Ashikin Saerah ini.
Baca juga: Cara Bersihkan Belut Dengan Betul, Hilang Segala Bau Hanyir Dan Lendir!
RESIPI AYAM MASAK MERAH
Bahan-Bahan:
- ½ ekor ayam (sekitar 4-6 ketul)
- ½ sudu besar serbuk kunyit*
- 1 sudu kecil garam*
- 2 sudu besar minyak masak*
Bahan Kisar:
- 6 ulas bawang kecil atau 1½ labu bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 10-15 tangkai cili kering (buang biji dan rebus dahulu)
Bahan Lain:
- 1 batang serai, diketuk
- 2 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos tomato
- Sedikit air asam jawa
- 1 labu bawang besar, dihiris (setengah bulat)
- Sedikit hirisan daun sup atau daun bawang (untuk hiasan, pilihan)
- Air secukupnya
- Garam dan gula secukup rasa
Cara Penyediaan:
1. Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga separuh masak atau sehingga masak sepenuhnya, mengikut selera anda. Untuk pilihan lebih sihat, ayam juga boleh dimasak dalam ‘air fryer’ pada suhu 200°C selama 20 minit.
3. Dalam kuali, panaskan sedikit minyak. Masukkan bahan-bahan kisar dan serai yang diketuk.
4. Tumis bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak. Semasa menumis, tambahkan sedikit gula untuk membantu menaikkan warna merah sambal.
5. Ulang langkah menumis ini 3-5 kali dengan menambah sedikit air pada setiap kali ulangan, sehingga sambal cili cukup masak dan bertukar menjadi merah gelap yang pekat.
6. Masukkan ayam yang telah digoreng ke dalam sambal. Tambahkan sos cili, sos tomato, dan sedikit air asam jawa. Gaul hingga sebati.
7. Biarkan ayam meresap dalam sambal, kacau seketika. Jika sambal terlalu kering, boleh tambahkan sedikit air asam jawa atau air biasa untuk mendapatkan kepekatan yang sesuai.
8. Masukkan hirisan bawang besar dan daun sup. Kacau rata dan biarkan bawang layu sedikit.
9. Ayam masak merah kini sedia untuk dihidangkan panas-panas bersama nasi putih atau nasi minyak!
Selamat mencuba!
Sumber: Noor Ashikin Saerah
Baca juga: Cara Buat Bawang Goreng Rangup Setiap Masa, Ada Tips Yang Kena Ikut!