Jom cuba masak resipi Ayam Masak Bali yang pernah viral sehingga 200k shares ini. Memang ramai penggemar hidangan ini. Memang sama rasanya dengan lauk di kenduri tu.
Ayam Masak Bali ini merupakan hidangan yang dimasak dengan menggunakan lebih banyak kari dan juga serai. Cara memasaknya hampir sama dengan cara memasak ayam masak merah.
Baca juga: Lauk Kurma Ayam Guna Cara Ekspres, 30 Minit Dah Siap Masak!
Rasa dan teksturnya yang seakan masakan ala-ala kenduri memang cukup menyelerakan. Hidangan ini sangat sedap dimakan dengan nasi sedang-sedang panas. Confirm terangkat!
Yang membezakan resipi ini dengan ayam masak merah ialah bahan-bahan yang digunakan. Penggunaan serai dan daun kari yang banyak telah membuatkan rasanya terus berbeza daripada ayam masak merah.
Resipi ini telah dikongsikan oleh seorang pengguna facebook iaitu Encik Naser Almsalmeh. Korang yang tengah buntu nak masak lauk berbuka apa, boleh cuba resipi viral ini.
RESIPI AYAM MASAK BALI
Portion hidangan: 4-5 orang makan
Bahan-bahan:
- 1 ekor Ayam
- 6-8 batang serai dititik
- 8 helai daun kari
- 3 sudu besar gula pasir
- 2 sudu kecil garam
- Kicap manis 5 kali titik
- Serbuk kunyit
- Garam dan secukup rasa
- Air asam jawa
Bahan kisar:
- Segenggam cili kering yang direbus (kalau nak pedas boleh lebihkan)
- 5-6 biji bawang besar
- Seinci halia
- Sedikit belacan
- Satu labu bawang putih
*semua bahan kisar perlu dikisar halus
Cara-cara memasak:
1. Bersihkan ayam. Lumur dengan kunyit dan garam. Goreng dalam 10-15 minit. Ketepikan.
2. Minyak menggoreng ayam tadi digunakan untuk goreng serai. Sehingga menjadi warna coklat kekuningan.
3. Masukkan daun kari. Kacau dan goreng. Masak atas api sederhana dan jangan sampai hangus.
4. Masukkan bahan yang dikisar dan biarkan garing. Biarkan sampai pecah minyak.
5. Masukkan kicap 5 kali titik, garam dan secukup rasa. Yang suka manis boleh letak gula sikit. Kemudian gaul sebati. Masukkan ayam yang dah digoreng tadi.
6. Gaul rata dan letak air asam jawa dan biarkan dalam 8-10 minit. Sesuaikan rasa dan kepekatan yang diingini.
7. Siap untuk dihidangkan.
Mudah dan tak leceh pun kan. Ditambah pula rasanya yang sangat sedap sampai menjilat jari! Makan dengan lempeng, roti dan lemang pun sedap.
Selamat mencuba!
Baca juga: Kepak Ayam Teriyaki Air Fryer, Sedap Dimakan Bersama Nasi Butter Dan Coleslaw