Categories: Resipi

Resepi Kuih Lapis Sukatan Cawan, Lembut Berkilat Dan Cantik Berlapis Kejadiannya

Kuih lapis antara kuih tradisional yang ramai gemari kerana teksturnya yang lembut, kenyal dan berlemak dengan rasa santan. Kalau dapat pula lapisan warna-warni yang cantik dan berkilat, memang susah nak berhenti makan!

Bagi yang teringin membuatnya sendiri, resepi kuih lapis sukatan cawan perkongsian Mariana Zainal ini boleh dicuba. Tak perlu timbang bahan, hanya gunakan sukatan cawan biasa. Ikuti langkah penyediaannya serta petua mengukus supaya setiap lapisan terbentuk cantik dan kemas.

Baca juga: Buat Kuih Lompang Gula Merah Ikut Sukatan Cawan, Ini Petua Supaya Berlekuk Cantik!

RESEPI KUIH LAPIS SUKATAN CAWAN

Resipi ini menggunakan gabungan tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi untuk menghasilkan tekstur kuih yang kenyal dan lembut. Penggunaan santan pula memberikan rasa lemak yang menjadikan kuih lebih enak.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung ubi
  • 3/4 cawan gula
  • 1 sudu teh garam
  • 4 1/2 cawan santan daripada sebiji kelapa
  • Pewarna makanan mengikut pilihan

Nota sukatan:

  • Sukatan 1 cawan tepung gandum menghasilkan tekstur yang sesuai untuk jualan.
  • Jika mahukan kuih yang lebih lembut, boleh kurangkan tepung gandum kepada 3/4 cawan.
  • Jika menggunakan santan kotak, boleh gunakan satu kotak kecil santan jenama pilihan, campurkan air dan sukat sehingga mendapat 4 1/2 cawan santan.

Cara-Cara Buat Kuih Lapis:

1. Satukan semua bahan

Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung ubi, gula, garam dan santan ke dalam bekas. Kacau sehingga semua bahan sebati.

2. Tapis adunan

Tapis adunan supaya tiada tepung yang berketul dan teksturnya lebih halus. Langkah ini penting untuk mendapatkan kuih lapis yang cantik.

3. Sediakan loyang

Panaskan air kukusan sehingga mendidih menggunakan api sederhana perlahan. Sapu sedikit minyak pada loyang bersaiz 8 inci dan lapik dengan plastik yang sesuai untuk mengukus.

4. Bahagikan adunan

Bahagikan adunan yang sudah ditapis kepada dua bahagian sama banyak. Masukkan pewarna makanan berbeza mengikut pilihan ke dalam setiap bahagian.

5. Kukus lapisan pertama

Masukkan dua senduk kecil adunan ke dalam loyang. Kukus selama 7 hingga 8 minit.

6. Teruskan dengan lapisan seterusnya

Tuangkan adunan warna kedua di atas lapisan pertama. Kukus lagi selama 7 hingga 8 minit. Ulang langkah ini secara berselang-seli sehingga semua adunan habis.

7. Kukus lapisan terakhir

Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 minit. Kemudian, buka tudung kukusan dan teruskan mengukus selama 5 minit menggunakan api besar.

8. Sejukkan sebelum dipotong

Angkat kuih dan biarkan sehingga betul-betul sejuk sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.

5 PETUA SUPAYA KUIH LAPIS CANTIK DAN MENJADI

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika menyediakan kuih lapis. Antaranya:

1. Gunakan santan segar jika ada

Menurut perkongsian Mariana Zainal, penggunaan santan daripada kelapa parut boleh membantu menghasilkan kuih lapis yang cantik dan berkilat. Namun, santan kotak juga boleh digunakan jika tiada santan segar.

2. Jangan skip proses menapis adunan

Pastikan adunan ditapis sebelum dibahagikan kepada beberapa warna. Ini membantu menghasilkan tekstur yang lebih halus tanpa ketulan tepung.

3. Pastikan setiap lapisan dikukus secukupnya

Kukus setiap lapisan selama 7 hingga 8 minit sebelum menuangkan adunan seterusnya. Lakukan proses ini sehingga semua lapisan selesai.

4. Lap tudung kukusan setiap kali dibuka

Ini antara langkah penting yang dikongsikan dalam resipi asal. Setiap kali membuka tudung kukusan, lap bahagian bawahnya terlebih dahulu sebelum menutup semula. Cara ini membantu mengelakkan titisan air jatuh ke atas permukaan kuih.

5. Biarkan kuih betul-betul sejuk

Jangan tergesa-gesa memotong kuih ketika masih panas. Sebaiknya, buat pada waktu malam dan potong keesokan paginya. Jika dibuat pada tengah hari, bolehlah dipotong pada waktu petang apabila sudah sejuk sepenuhnya.

BOLEH JUGA GUNA ACUAN KECIL

Selain menggunakan loyang bersaiz 8 inci, resipi kuih lapis ini juga boleh dibuat menggunakan acuan plastik seperti acuan lompang atau acuan comel.

Caranya, sapukan sedikit minyak pada acuan terlebih dahulu. Masukkan satu sudu besar adunan dan kukus selama 3 minit bagi setiap lapisan.

Ulang langkah yang sama sehingga semua adunan habis. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 7 minit. Kemudian, buka tudung kukusan dan teruskan mengukus selama 5 minit menggunakan api besar.

Resepi kuih lapis sukatan cawan ini memang sesuai dicuba jika teringin menikmati kuih tradisional buatan sendiri. Bahan-bahannya mudah didapati, cara penyediaannya juga tidak rumit dan paling penting, tak perlu menggunakan penimbang.

Terima kasih kepada Mariana Zainal atas perkongsian resipi ini. Selamat mencuba!

Sumber: Mariana Zainal

Baca juga: Resepi Kek Coklat Moist Sukatan Cawan, Kukus Atau Bakar Kedua-Duanya Menjadi!

Aimi

Recent Posts

Rahsia Kuetiau Goreng Lebih Sedap, Rupanya Tumis Tomato Sampai Layu Jadi Kunci Rasa Umami!

Kuetiau goreng merupakan antara hidangan yang sesuai dijadikan pilihan untuk sarapan pagi. Walaupun menggunakan bahan…

39 minutes ago

Resipi Cinnamon Roll Dengan Cheese Frosting, Bau Harum Kayu Manis Semerbak Satu Rumah!

Cinnamon roll merupakan sejenis roti manis yang terkenal dengan aroma kayu manis serta gulungan doh…

3 hours ago

Resepi Sayur Bayam Ala Banchan Korea Tanpa Perlu Ditumis, Wangi Semerbak Minyak Bijan!

Resepi sayur bayam ala banchan Korea ini merupakan hidangan sampingan yang sering melengkapkan sajian di…

21 hours ago

Cara Rebus Jantung Pisang Supaya Kekal Putih, Tak Hitam Dan Kurang Rasa Pahit

Jantung pisang merupakan antara ulam tradisional yang cukup digemari masyarakat kita. Selain sedap dimakan bersama…

21 hours ago

Resipi Wrap Ayam Homemade, Buat Sendiri Puas Hati Boleh Letak Inti Penuh-Penuh!

Resepi wrap ayam ini sesuai untuk sesiapa yang mahukan hidangan ringkas tetapi tetap mengenyangkan. Intinya…

22 hours ago

Resipi Brownies Anti-Gagal, Ini Rahsia Permukaan Berkedut Cantik & Tak Mudah Terkoyak!

Resepi brownies kedut ini sesuai dicuba bagi yang suka brownies coklat dengan permukaan berkedut nipis,…

22 hours ago