Kuih lapis antara kuih tradisional yang ramai gemari kerana teksturnya yang lembut, kenyal dan berlemak dengan rasa santan. Kalau dapat pula lapisan warna-warni yang cantik dan berkilat, memang susah nak berhenti makan!
Bagi yang teringin membuatnya sendiri, resepi kuih lapis sukatan cawan perkongsian Mariana Zainal ini boleh dicuba. Tak perlu timbang bahan, hanya gunakan sukatan cawan biasa. Ikuti langkah penyediaannya serta petua mengukus supaya setiap lapisan terbentuk cantik dan kemas.
Baca juga: Buat Kuih Lompang Gula Merah Ikut Sukatan Cawan, Ini Petua Supaya Berlekuk Cantik!
RESEPI KUIH LAPIS SUKATAN CAWAN

Resipi ini menggunakan gabungan tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi untuk menghasilkan tekstur kuih yang kenyal dan lembut. Penggunaan santan pula memberikan rasa lemak yang menjadikan kuih lebih enak.
Bahan-bahan:
- 2 cawan tepung beras
- 1 cawan tepung gandum
- 2 sudu besar tepung ubi
- 3/4 cawan gula
- 1 sudu teh garam
- 4 1/2 cawan santan daripada sebiji kelapa
- Pewarna makanan mengikut pilihan
Nota sukatan:
- Sukatan 1 cawan tepung gandum menghasilkan tekstur yang sesuai untuk jualan.
- Jika mahukan kuih yang lebih lembut, boleh kurangkan tepung gandum kepada 3/4 cawan.
- Jika menggunakan santan kotak, boleh gunakan satu kotak kecil santan jenama pilihan, campurkan air dan sukat sehingga mendapat 4 1/2 cawan santan.
Cara-Cara Buat Kuih Lapis:
1. Satukan semua bahan
Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung ubi, gula, garam dan santan ke dalam bekas. Kacau sehingga semua bahan sebati.
2. Tapis adunan
Tapis adunan supaya tiada tepung yang berketul dan teksturnya lebih halus. Langkah ini penting untuk mendapatkan kuih lapis yang cantik.
3. Sediakan loyang
Panaskan air kukusan sehingga mendidih menggunakan api sederhana perlahan. Sapu sedikit minyak pada loyang bersaiz 8 inci dan lapik dengan plastik yang sesuai untuk mengukus.
4. Bahagikan adunan
Bahagikan adunan yang sudah ditapis kepada dua bahagian sama banyak. Masukkan pewarna makanan berbeza mengikut pilihan ke dalam setiap bahagian.
5. Kukus lapisan pertama
Masukkan dua senduk kecil adunan ke dalam loyang. Kukus selama 7 hingga 8 minit.
6. Teruskan dengan lapisan seterusnya
Tuangkan adunan warna kedua di atas lapisan pertama. Kukus lagi selama 7 hingga 8 minit. Ulang langkah ini secara berselang-seli sehingga semua adunan habis.
7. Kukus lapisan terakhir
Untuk lapisan terakhir, kukus selama 15 minit. Kemudian, buka tudung kukusan dan teruskan mengukus selama 5 minit menggunakan api besar.
8. Sejukkan sebelum dipotong
Angkat kuih dan biarkan sehingga betul-betul sejuk sebelum dipotong menggunakan pisau plastik.
5 PETUA SUPAYA KUIH LAPIS CANTIK DAN MENJADI
Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika menyediakan kuih lapis. Antaranya:
1. Gunakan santan segar jika ada
Menurut perkongsian Mariana Zainal, penggunaan santan daripada kelapa parut boleh membantu menghasilkan kuih lapis yang cantik dan berkilat. Namun, santan kotak juga boleh digunakan jika tiada santan segar.
2. Jangan skip proses menapis adunan
Pastikan adunan ditapis sebelum dibahagikan kepada beberapa warna. Ini membantu menghasilkan tekstur yang lebih halus tanpa ketulan tepung.
3. Pastikan setiap lapisan dikukus secukupnya
Kukus setiap lapisan selama 7 hingga 8 minit sebelum menuangkan adunan seterusnya. Lakukan proses ini sehingga semua lapisan selesai.
4. Lap tudung kukusan setiap kali dibuka
Ini antara langkah penting yang dikongsikan dalam resipi asal. Setiap kali membuka tudung kukusan, lap bahagian bawahnya terlebih dahulu sebelum menutup semula. Cara ini membantu mengelakkan titisan air jatuh ke atas permukaan kuih.
5. Biarkan kuih betul-betul sejuk
Jangan tergesa-gesa memotong kuih ketika masih panas. Sebaiknya, buat pada waktu malam dan potong keesokan paginya. Jika dibuat pada tengah hari, bolehlah dipotong pada waktu petang apabila sudah sejuk sepenuhnya.
BOLEH JUGA GUNA ACUAN KECIL
Selain menggunakan loyang bersaiz 8 inci, resipi kuih lapis ini juga boleh dibuat menggunakan acuan plastik seperti acuan lompang atau acuan comel.
Caranya, sapukan sedikit minyak pada acuan terlebih dahulu. Masukkan satu sudu besar adunan dan kukus selama 3 minit bagi setiap lapisan.
Ulang langkah yang sama sehingga semua adunan habis. Untuk lapisan terakhir, kukus selama 7 minit. Kemudian, buka tudung kukusan dan teruskan mengukus selama 5 minit menggunakan api besar.
Resepi kuih lapis sukatan cawan ini memang sesuai dicuba jika teringin menikmati kuih tradisional buatan sendiri. Bahan-bahannya mudah didapati, cara penyediaannya juga tidak rumit dan paling penting, tak perlu menggunakan penimbang.
Terima kasih kepada Mariana Zainal atas perkongsian resipi ini. Selamat mencuba!
Sumber: Mariana Zainal
Baca juga: Resepi Kek Coklat Moist Sukatan Cawan, Kukus Atau Bakar Kedua-Duanya Menjadi!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

