Hidangan yang boleh dibuat dengan lebihan nasi semalam, tak lain dan tak bukan semestinya Nasi Goreng Kampung simple yang sedap.
Hidangan ini merupakan salah satu masakan Malaysia yang terkenal dan mudah didapati di warung dan restoran. Senang cerita, di mana-mana pun ada hidangan ini.
Berbeza dengan nasi goreng jenis yang lain, Nasi Goreng Kampung boleh dikenalpasti melalui cara masakan nasi goreng itu sendiri.
Baca juga: Nasi Goreng Ikan Rebus, Nak Tambah Lagi Sedap Kena Letak Bahan ‘Ini’
Selain menggunakan bahan tumis biasa iaitu bawang, biasanya sayur dan ikan bilis turut digunakan. Tambahan lagi, sayur yang biasa digunakan pula ialah kangkung.
Jika anda ada lebihan nasi semalam, bolehlah buat resipi yang dikongsikan oleh Min Meena Manjalara di Facebook ini. Jom kita cuba!
RESIPI NASI GORENG KAMPUNG SIMPLE
Bahan-bahan:
- Ikan bilis segenggam (ikut anggaran nasi)
- Bawang kecil
- Bawang putih
- Cili padi
- Nasi sejuk secukupnya
- Kangkung
- Kobis
- Lobak merah
- Garam dan perasa yang dibenarkan
- Minyak masak secukupnya
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, tumbuk ikan bilis, bawang kecil, bawang putih dan cili padi sehingga lumat
2. Selepas itu, panaskan minyak dan tumis bahan yang telah ditumbuk tadi sehingga naik bau, kemudian masukkan nasi putih.
3. Seterusnya, gaul rata dan masukkan pula sayur kobis, kemudian masukkan kangkung dan lobak merah. Gaul kaup balik serata.
4. Akhir sekali, masukkan garam dan perasa secukupnya. Siap untuk dihidang!
Selain taburkan bawang goreng sebagai hiasan, anda juga boleh hidangkannya bersama timun dan telur mata supaya nampak lebih menarik.
Nasi Goreng Kampung memang terkenal dengan kepedasannya kerana penggunaan cili padi dalam masakan. Namun, anda boleh kurangkan cili jika tak nak terlalu pedas.
Jika anda jadikan hidangan ini untuk makan tengah hari atau malam buat seisi keluarga di rumah, pasti kesedapannya bakal dipuji nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Min Meena Manjalara
Baca juga: Resepi Nasi Goreng Kampung, Guna Cara Ini Baru Tak Nampak Pucat