Hidangan kuey teow sering jadi pilihan kepada mereka yang suka singgah kedai makan Thai dan ia membuatkan ramai teringin tahu cara masak Kuey Teow Kungfu yang sedap.
Kuey Teow Kungfu dikenali juga sebagai kuey teow hong kong yang berbeza dengan kuey teow goreng kerana ia digoreng bersama telur dan menjadi lebih rangup apabila dimakan.
Kali ini, kami nak tunjukkan cara masak Kuey Teow Kungfu yang sedap mengikut resipi yang dikongsikan oleh Rozmaliza Omar di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Kuey Teow Ladna Dengan 4 Langkah Mudah, Sampai Kecur Air Liur Dibuatnya!
CARA MASAK KUEY TEOW KUNGFU
Bahan-bahan untuk kuey teow:
- 500gm kuey teow atau 3 keping yee mee
- 3 biji telur
- Sedikit lada sulah
Bahan-bahan untuk kuah:
- 3 hingga 4 ulas bawang putih (diketuk)
- 1 mangkuk isi ayam
- 5 ekor udang
- 3 ekor sotong
- 1 batang lobak merah (dihiris)
- 2 pohon sayur sawi
- 1 mangkuk bunga kubis
- 1 sudu kecil lada sulah
- 1½ sudu besar tepung jagung (campur sedikit air)
- 1 kiub ayam
- 4 cawan air (anggaran)
Cara-cara menyediakan kuey teow:
1. Mula-mula, panaskan sedikit minyak.
2. Kemudian, pukul sebiji telur dengan lada sulah sehingga rata.
3. Selepas itu, masukkan kuey teow dan kacau rata.
4. Goreng sehingga garing, kemudian angkat dan ketepikan terlebih dahulu.
Cara-cara menyediakan kuah:
1. Mula-mula, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih sehingga kekuningan.
2. Selepas itu, masukkan isi ayam dan kacau rata. Masukkan air dan biarkan kuah mendidih, kemudian masukkan sotong dan udang.
3. Setelah mendidih, masukkan bunga kubis, lobak merah dan sayur sawi.
4. Seterusnya, masukkan kiub pati ayam dan garam secukupnya.
5. Kemudian, masukkan air bancuhan tepung jagung dan masak sehingga kuah pekat.
6. Akhir sekali, tuang kuah atas kuey teow yang telah digoreng tadi. Tabur bawang goreng, jika suka. Siap untuk dihidang!
Selain menggunakan kuey teow untuk masak Kuey Teow Kungfu ini, anda juga boleh gantikan dengan yee mee untuk cuba kelainan sekali-sekala.
Selepas masak Kuey Teow Kungfu ini, anda boleh hidangkan bersama kicap cili potong untuk menambahkan lagi kelazatannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Rozmaliza Omar
Baca juga: Resepi Kuey Teow Thng Yang Sedap, Makin Berselera Hirup Kuahnya