Sudah hampir waktu tengah hari, nampaknya sudah sampai masa untuk memasak di dapur. Jika nak sediakan hidangan paling mudah, boleh cuba cara bakar ikan guna air fryer ini.
Ikan Bakar adalah hidangan ikan yang dibakar atau dipanggang atas bara api yang sangat popular di Malaysia dan Indonesia. Kini, terdapat pelbagai versi Ikan Bakar yang muncul di serata dunia.
Selain menggunakan tempat pemanggang khas, sebenarnya terdapat cara bakar ikan yang cukup ringkas dan mudah dengan menggunakan air fryer di rumah.
Melalui perkongsian oleh Nur Hayati Yahya di Facebook, dia telah membakar ikan dalam air fryer tanpa perlu terbalikkan sama sekali. Jom kita cuba!
Baca juga: Resepi Ikan Percik, Cara Bakar Ini Buat Isi Kekal Lembut Dan Berjus
CARA BAKAR IKAN GUNA AIR FRYER
Bahan-bahan:
- Ikan (tak kisah jenis apa pun boleh)
- Pes ikan bakar
- Bawang putih
- Bawang merah
- Cili kisar
- Halia
- Serai
- Cabai Melaka (jika suka pedas)
- Sedikit belacan
- Pes asam pedas Adabi
- Garam
- Gula
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, kisar semua bahan kecuali ikan sehingga lumat.
2. Kemudian, tumis bahan kisar sampai pecah minyak dan kering.
3. Selepas itu, sapukan pada badan ikan mengikut citarasa.
4. Seterusnya, bakar ikan dengan menggunakan suhu 180ºC selama 10 minit terlebih dahulu.
5. Setelah itu, sapu lagi pes ikan bakar supaya sedikit basah-basah.
6. Akhir sekali, bakar ikan lagi dengan menggunakan suhu 180ºC selama 25 minit. Siap untuk dihidang!
Bahan-bahan di dalam resepi ini perlu diagak dan seimbangkan mengikut citarasa tersendiri. Setelah menikmatinya, anda pasti akan puas hati dengan hasil isi ikan yang lembut berjus dan sangat sedap dimakan.
Cara bakar ikan ini sesuai buat mereka yang nak cepat siap masak di rumah. Bagi menyempurnakannya, anda boleh hidangkan bersama sambal kicap atau air asam yang lazat.
Selamat mencuba!
Sumber: Nur Hayati Yahya
Baca juga: Ayam Bakar Madu Guna Air Fryer, Rangup Dan Manisnya Buat Terliur