Resipi donut labu yang gebu gebas ini sesuai untuk menu makan petang. Padankan pula dengan teh O panas atau kopi O, memang layan sungguh!
Kombinasi labu kuning yang lembut umpama kapas dan tekstur yang gebu, pasti menjadi kegemaran semua orang di rumah.
MyResipi akan kongsikan resipi penuh oleh Anita Daniels Kitchen menerusi laman sesawang Facebook. Pencinta kuih manis, wajib cuba resipi ini di rumah!
Baca juga: Cara Buat Pai Daging Carbonara, Baru Kelas Kau Jah
RESIPI DONUT LABU GEBU GEBAS
Bahan-bahan:
- 1 cawan isi labu kuning yang telah direbus
- 1 1/2 cawan susu Dutch Lady suam
- 2 sudu besar susu pekat manis
- 2 sudu besar mentega cair atau minyak
- 1 biji telur
- 1 biji kuning telur
- 2 sudu besar gula
- 2 sudu besar yis Mauripan
- 620 gram tepung gandum (tambah sekiranya perlu)
- Secubit garam
Bahan-bahan tambahan:
- Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
- Gula kastor secukupnya untuk menyalut
- Serbuk kayu manis
Cara-cara membuat:
1. Campurkan yis Mauripan dengan 1/2 cawan susu suam dan 1 sudu kecil gula. Kacau hingga berbuih dan biarkan sebentar.
2. Blend atau kisar labu rebus dengan 1 cawan air sehingga halus. Tuangkan ke dalam bekas menguli yang sesuai.
3. Masukkan semua bahan lain seperti minyak masak, susu pekat manis, gula, garam dan campuran yis yang telah berbuih tadi. Gaul rata dengan tangan.
4. Tambahkan tepung gandum sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga terbentuk doh yang lembut. Tutup bekas menguli dengan tuala bersih dan biarkan doh naik sekali ganda.
Cara-cara membentuk doh:
1. Selepas doh naik sekali ganda, tumbuk-tumbukkan untuk mengeluarkan angin. Jika melekat di tangan, salutkan tangan dengan sedikit minyak.
2. Timbang doh seberat 40 gram setiap sebiji atau ikut saiz donut yang diinginkan. Bulatkan doh dan leperkan sedikit seperti membuat cucur badak.
3. Susun di atas dulang yang telah disapu minyak atau ditabur dengan tepung.
4. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana.
5. Goreng donut hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan sebentar sebelum disalutkan dengan gula kastor atau serbuk kayu manis.
Selamat mencuba resipi ini untuk hidangan petang!
Kredit resipi: Anita Daniels Kitchen
Baca juga: Puding Blueberry Cincau, Makan Sejuk-Sejuk Memang Nikmat!