Ikan kembung kicap berempah boleh jadi pilihan menu untuk hidangan seisi keluarga. Gabungan ikan kembung, kicap manis dan pelbagai rempah menjadikan lauk ini sesuai dinikmati bersama nasi putih.

Resipi ini menggunakan bahan-bahan seperti cili kering, bawang, serai, rempah empat sekawan, jintan dan ketumbar. Kesemua bahan tersebut memberikan rasa dan aroma yang tersendiri pada hidangan.

Kalau anda sedang mencari idea untuk masak ikan kembung dengan cara yang berbeza, boleh cuba resipi ini. Cara penyediaannya juga sangat senang kerana tidak menggunakan terlalu banyak bahan.

Baca juga: Resipi Ikan Siakap Rebus Halia Limau, Campurkan Saja Semua Bahan Ini Dalam Kuali!

RESEPI IKAN KEMBUNG KICAP BEREMPAH

Bahan-bahan:

  • 8 ekor ikan kembung
  • 15 tangkai cili kering
  • 5 biji bawang kecil
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar serbuk kari daging
  • 2 batang serai (diketuk)
  • 4 sekawan
  • 1 sudu kecil jintan halus
  • 1 sudu kecil jintan kasar
  • 1 sudu kecil ketumbar
  • Kicap manis secukupnya
  • Serbuk kunyit secukupnya untuk menggoreng ikan
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit air

Cara-cara penyediaan:

  1. Bersihkan ikan kembung dan gaulkan dengan serbuk kunyit serta sedikit garam.
  2. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak dan sedikit garing. Angkat dan ketepikan.
  3. Sementara itu, kisarkan cili kering, bawang kecil, bawang putih, serbuk kari daging, jintan halus, jintan kasar dan ketumbar dengan sedikit air. Jangan masukkan serai.
  4. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumiskan bahan kisar bersama serai yang diketuk dan rempah empat sekawan.
  5. Tumis dengan api sederhana sehingga bahan kisar benar-benar masak dan pecah minyak. Bahagian ini penting supaya kuah tidak rasa mentah.
  6. Masukkan kicap manis, sedikit air, garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan biarkan kuah mendidih.
  7. Laraskan jumlah air mengikut kepekatan kuah yang disukai. Kalau suka kuah pekat, gunakan sedikit sahaja air.
  8. Setelah kuah mendidih dan rasanya sudah cukup, masukkan ikan kembung yang telah digoreng.
  9. Kacau atau balik-balikkan ikan perlahan-lahan supaya kuah sebati tanpa menghancurkan ikan.
  10. Biarkan beberapa minit sehingga kuah meresap pada ikan. Tutup api dan hidangkan bersama nasi putih panas.

Sumber: Lizawati Suradi

Baca juga: Resipi Sup Ikan Tom Kha Ala Thai, Kuah Santan Wangi & Masam Pedas Ini Memang Buka Selera!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending