
Kalau suka hidangan Thailand yang kaya dengan rasa masam, pedas dan lemak berkrim, sup ikan tom kha ini memang wajib cuba. Menggunakan ikan siakap sebagai bahan utama, sup ini mempunyai kuah santan yang cukup berlemak dengan aroma serai, lengkuas dan daun limau purut yang menyelerakan.
Resipi ini sebenarnya cukup mudah untuk disediakan di rumah. Bahan-bahannya juga tidak terlalu banyak dan kebanyakannya memang biasa digunakan dalam masakan Thailand. Tak perlu tumis bahan, cuma rebus bahan aromatik, masukkan ikan dan akhir sekali santan.
Paling penting, rasa masam, masin, manis dan pedas boleh diubah suai mengikut selera sendiri. Kalau dimakan panas-panas bersama nasi putih, memang boleh bertambah nasi!
Baca juga: Ikan Goreng Masak Asam, Menu Ringkas Tapi Rasa Masam Pedasnya Buat Selera Makin Naik
RESIPI SUP IKAN TOM KHA

Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap (dicuci bersih dan dipotong)
- 1/2 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih (diketuk)
- 2 batang serai (diketuk)
- 3 tangkai akar ketumbar (diketuk)
- 8 biji cili api (diketuk)
- 6 keping daun limau purut
- 3 keping lengkuas (dihiris nipis dan diketuk)
- 1/2 sudu besar gula thai
- 3 sudu besar sos ikan
- 3 sudu besar jus limau thai
- 1/2 kotak santan kelapa segar
- Air secukupnya
Cara-cara penyediaan:
- Bersihkan ikan siakap dan potong kepada beberapa bahagian mengikut saiz yang disukai.
- Masukkan bawang putih, serai, akar ketumbar, cili api, lengkuas dan daun limau purut ke dalam periuk.
- Tuangkan air secukupnya dan rebus sehingga kuah mendidih serta bahan-bahan aromatik mengeluarkan bau yang harum.
- Masukkan ikan siakap dan biarkan masak sehingga ikan empuk. Elakkan terlalu kerap mengacau supaya isi ikan tidak hancur.
- Setelah ikan masak, masukkan gula Thai, sos ikan dan jus limau Thai. Kacau perlahan dan sesuaikan rasa mengikut selera.
- Akhir sekali, tuangkan santan dan kacau perlahan supaya sebati.
- Biarkan kuah mendidih seketika sahaja. Jangan masak santan terlalu lama atau menggunakan api terlalu besar kerana santan boleh pecah.
- Tutup api dan hidangkan sup ikan tom kha panas-panas bersama nasi putih.
Sumber: Rosnie Artbyrose Deqnie Badrum
Baca juga: Resipi Ikan Masak Taucu Berkuah, Kuah Masam Manis Pedas Yang Buat Lauk Ini Susah Ditolak
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














